WASHINGTON: Seorang lagi anggota pengaman iaitu yang kedua maut berikutan serangan baru-baru ini di selatan Lubnan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu, mendorong seruan untuk akauntabiliti dan perlindungan pengaman antarabangsa di rantau itu, lapor Anadolu Ajansi.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menzahirkan dukacita atas kematian seorang askar Perancis yang berkhidmat dengan Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) susulan serangan 18 April yang mengakibatkan seorang tentera pengaman terbunuh dan tiga cedera, kata jurucakapnya Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.
Advertisement
"Ini adalah salah satu daripada beberapa insiden dalam beberapa minggu kebelakangan ini yang mengakibatkan kematian dan kecederaan serius anggota pengaman yang berkhidmat dengan UNIFIL," kata Dujarric.
Dujarric berkata Guterres mengulangi gesaannya kepada semua pihak untuk menegakkan kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa dan memastikan keselamatan dan keamanan petugas PBB.
"Serangan ke atas pasukan pengaman mesti dihentikan. Ia adalah pencabulan besar terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan 1701 (2006) dan mungkin merupakan jenayah perang," tambahnya.
"Semua serangan ke atas pasukan pengaman mesti disiasat segera dan mereka yang bertanggungjawab mesti didakwa dengan berkesan dan dipertanggungjawabkan."
Terdahulu, Perancis mengesahkan kematian Anicet Girardin, yang telah dipindahkan ke Perancis untuk rawatan selepas cedera dalam serangan sama yang membunuh Ajudan Florian Montorio dan mencederakan dua lagi tentera Perancis.
-- BERNAMA-ANADOLU