Serangan tram di Belanda: Tiga maut, sembilan cedera - Datuk Bandar

Agensi
Mac 18, 2019 15:26 MYT
Polis Belanda juga sedang memburu seorang lelaki warga Turki berusia 37 tahun yang dipercayai ada kaitan dengan insiden tersebut. - Foto AP
Insiden tembakan rambang di dalam tram di Utrecht, Belanda pada Isnin telah meragut tiga nyawa setakat ini.
Menurut Datuk Bandar Utrecht, Jan van Zanen, kejadian itu turut mencederakan sembilan individu lain.
Selain itu, Polis Belanda juga sedang memburu seorang lelaki warga Turki berusia 37 tahun yang dipercayai ada kaitan dengan insiden tersebut.
BACA: Serangan tram di Belanda: Suspek lelaki warga Turki diburu
Memetik laporan Reuters, suspek dikenal pasti sebagai Gokmen Tanis.
Susulan kejadian itu, polis anti-pengganas telah dihantar bagi mengepung dan menjejak suspek yang memulakan tembakan itu.
Kesemua sekolah dan masjid juga telah diarahkan tutup ekoran timbul kebimbangan ia mempunyai kaitan terhadap kejadian tembakan ke dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lepas, yang hingga kini telah mengorbankan 50 orang.
#Christchurch #Datuk Bandar Utrecht #Dutch tram incident #Gokmen Tanis #insiden tembakan di Belanda #Jan van Zanen #Utrecht shooting