DUNIA

Serangan udara AS di Caribbean, Pasifik langgar undang-undang kemanusiaan - PBB

Bernama 08/11/2025 | 07:30 MYT
AS didesak menghentikan serangan seumpama itu dan mengambil semua langkah yang perlu untuk mengelakkan pembunuhan di luar proses undang-undang terhadap individu di atas bot. - Gambar fail
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyokong pandangan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB Volker Turk bahawa serangan udara Amerika Syarikat (AS) di rantau Caribbean dan Pasifik timur melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, kata jurucakap PBB pada Jumaat, lapor Xinhua.

Timbalan Jurucakap Guterres, Farhan Haq, berkata dalam sidang media harian bahawa "tiada individu di atas bot yang disasarkan dilihat menimbulkan ancaman segera terhadap nyawa orang lain atau boleh mewajarkan penggunaan kekerasan bersenjata hingga membawa maut di bawah undang-undang antarabangsa.

"Kami mahu memastikan kaedah penguatkuasaan undang-undang yang sewajarnya digunakan bagi menangani isu penyeludupan haram di perairan antarabangsa," kata beliau.

Turk dalam kenyataannya pada 31 Okt berkata AS perlu menghentikan serangan seumpama itu dan mengambil semua langkah yang perlu untuk mengelakkan pembunuhan di luar proses undang-undang terhadap individu di atas bot berkenaan, tanpa mengira kesalahan jenayah yang didakwa.

Pada Khamis, Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth berkata di platform media sosial X bahawa pasukan AS telah menyerang sebuah lagi bot yang disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah di Caribbean, mengorbankan tiga orang dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 18 kapal musnah setakat ini.

-- BERNAMA



#PBB #Amerika Syarikat #perang dadah #Caribbean