BEIRUT/ISTANBUL: Serangan udara Israel memusnahkan Hospital Ghandour di bandar Nabatieh al-Fawqa, selatan Lubnan pada Ahad, menurut Kementerian Kesihatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Serangan udara Israel yang dilancarkan pagi Ahad memusnahkan sepenuhnya Hospital Ghandour di Nabatieh al-Fawqa,” menurut kenyataan kementerian itu.
Kementerian itu memaklumkan serangan terhadap kemudahan kesihatan memburukkan lagi kerugian yang dialami sektor kesihatan Lubnan di tengah-tengah serangan berterusan Israel. Kementerian menyifatkan kemusnahan hospital itu sebagai “satu lagi pelanggaran terhadap perlindungan yang diberikan kepada kemudahan perubatan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”
Menurut kementerian, hospital itu berhenti beroperasi kira-kira dua bulan lepas susulan peningkatan serangan Israel ke atas Nabatieh dan kawasan sekitarnya.
Kementerian memaklumkan kemudahan itu memainkan peranan penting ketika ketegangan memuncak sebelum ini dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk serta menjadi tempat perlindungan bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal untuk tempoh yang lama.
Menurut kementerian, 17 hospital di seluruh Lubnan mengalami kerosakan akibat serangan Israel sejak 2 Mac, manakala tiga hospital di selatan Lubnan tidak lagi dapat beroperasi.
Kemusnahan Hospital Ghandour berlaku beberapa jam selepas beberapa siri serangan udara Israel di seluruh selatan Lubnan, mengorbankan empat orang dan mencederakan 20 yang lain, menurut angka awal kementerian.
Serangan itu menyasarkan beberapa kawasan di daerah Nabatieh termasuk Nabatieh al-Fawqa, kawasan kejiranan Al-Rahibat di bandar Nabatieh, Arab Salim dan Kfar Remman.
Israel memperhebat serangannya ke atas selatan Lubnan sejak beberapa hari kebelakangan ini selepas tentera Israel mendakwa memintas sebuah dron yang didakwa dilancarkan Hizbullah ke arah tenteranya yang beroperasi di kawasan yang disebut Tel Aviv sebagai “zon keselamatan” di selatan Lubnan.
Serangan itu berlaku meskipun perjanjian rangka kerja tajaan Amerika Syarikat (AS) yang ditandatangani pada 26 Jun memperuntukkan pengunduran Israel secara berperingkat dari wilayah Lubnan sebagai pertukaran dengan penempatan tentera Lubnan.
Israel melancarkan serangan ke atas Lubnan sejak 2 Mac, mengorbankan 4,358 orang dan mencederakan 12,359 yang lain serta menyebabkan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa Lubnan.
Israel terus menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan termasuk wilayah yang didudukinya sejak beberapa dekad lalu serta kawasan lain yang diduduki semasa konflik 2023-2024.
-- BERNAMA-ANADOLU