DUNIA

Serangan udara Israel ragut puluhan nyawa, Gaza terus dibedil menjelang lawatan Netanyahu ke AS

Agensi 01/07/2025 | 22:50 MYT
Beginilah keadaan kafe tepi laut di Gaza City selepas diserang oleh rejim Zionis sehingga meragut 41 nyawa dan menyebabkan 75 orang cedera. - Gambar AP
GAZA: Sekurang-kurangnya 41 orang terkorban manakala 75 lagi cedera dalam satu serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah kafe popular berhampiran pelabuhan Gaza City, menurut Pengarah Hospital Al-Shifa, Dr Mohammad Abu Silmiya.
Beliau berkata, majoriti mangsa yang maut merupakan wanita dan kanak-kanak, termasuk pelajar yang berada di kafe berkenaan bagi mendapatkan capaian internet.
Rakaman video yang disahkan lokasi oleh CNN menunjukkan asap tebal dan kerosakan teruk pada struktur bangunan serta kawasan sekeliling.
Antara yang terkorban ialah Sama Abu Namous, 17, yang berada di kafe itu untuk mengulang kaji pelajaran sebagai persiapan menghadapi peperiksaan sekolah menengah.
“Dia sepatutnya pulang ke rumah selepas belajar, tetapi tiba-tiba kami diberitahu dia telah terbunuh. Kanak-kanak mati setiap hari. Apa sebenarnya yang sedang dirundingkan? Darah anak-anak kita?” kata ibu saudaranya dalam nada sebak.
Menurut Pengurus Besar kafe Al-Baqa, Said Ahel, serangan itu turut meragut nyawa 11 pekerja dan mencederakan lima yang lain. Malah, ketika serangan berlaku, satu majlis hari jadi sedang berlangsung di premis tersebut.
“Kafe ini ditubuhkan 20 tahun lalu dan kami buka semula awal tahun ini untuk menyediakan ruang kepada penduduk berehat serta pelajar yang tidak mempunyai kemudahan elektrik dan internet,” jelasnya.
Dr Silmiya turut memaklumkan bahawa hospital kini berdepan kekurangan katil unit rawatan rapi (ICU) dan ubat bius. Beberapa mangsa cedera parah disahkan meninggal dunia pada malam Isnin akibat ketiadaan rawatan mencukupi.
“Kami terpaksa merawat mangsa di lantai hospital kerana tiada lagi bilik atau katil yang tersedia,” ujarnya.
Seorang wartawan bebas, Ismail Abu Hatab, turut disahkan terkorban dalam serangan itu.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza yang dikuasai Hamas, jumlah wartawan yang terbunuh akibat tindakan ketenteraan Israel sejak Oktober 2023 kini meningkat kepada 228 orang.
Dalam pada itu, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) menyatakan kepada media bahawa mereka sedang menyiasat insiden berkenaan. IDF turut mendakwa serangan itu menyasarkan pejuang Hamas dan langkah-langkah telah diambil untuk meminimumkan risiko terhadap orang awam melalui pemantauan udara.
Gaza terus dibedil, tekanan meningkat terhadap Israel
Serangan di Gaza City itu berlaku ketika Israel mengumumkan peluasan operasi ketenteraan di wilayah berkenaan, hanya beberapa hari sebelum lawatan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu ke Washington bagi bertemu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Menurut kenyataan tentera Israel pada Selasa, operasi diperluas ke beberapa kawasan tambahan di Semenanjung Gaza, membabitkan pembunuhan puluhan pejuang dan pemusnahan ratusan infrastruktur keganasan termasuk terowong bawah tanah.
Agensi pertahanan awam Gaza pula melaporkan sekurang-kurangnya 20 lagi terbunuh dalam serangan udara di utara dan selatan Gaza pada hari yang sama.
Penduduk tempatan, Raafat Halles, 39, dari Shujaiya, berkata, serangan dan bedilan semakin intensif sejak seminggu lalu, dengan kereta kebal Israel terus mara ke kawasan kediaman.
“Saya rasa setiap kali ada cakap-cakap tentang gencatan senjata, tentera akan tingkatkan serangan. Saya tidak faham kenapa,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Amer Daloul, 44, berkata, keluarganya terpaksa melarikan diri dari khemah penempatan mereka akibat tembakan dan pengeboman rambang.
Jurufoto AFP turut merakam imej kereta kebal Israel berhampiran sempadan selatan Israel-Gaza, serta kanak-kanak yang menggeledah runtuhan kediaman di Gaza City. Beberapa gambar lain memaparkan suasana hiba ahli keluarga yang menangisi kematian insan tersayang di Hospital Al-Shifa dan Hospital Al-Aqsa. - Agensi
#perang Israel-Gaza #serangan udara Israel #ragut puluhan nyawa #kafe tepi laut #israel serang gaza