Serbia menolak usaha perdamaian dengan Kosovo yang ditaja Kesatuan Eropah (EU) yang dilihat bakal menyemarakkan lagi ketegangan di wilayah utara Kosovo.

Selain itu, tindakan berkenaan juga bakal menjejaskan usaha serbia menyertai EU kerana perkara itu dimasukkan sebagai salah satu syarat dalam rundingan keanggotaan Serbia ke dalam EU.

Serbia diberi masa yang singkat bagi memikirkan tawaran itu dan melepaskan kawalannya ke atas wilayah utara Kosovo.

Menurut Perdana Menteri Serbia, Ivica Dacic, perkara itu tidak dapat diterima kerana tiada jaminan keselamatan dan perlindungan hak asasi manusia kepada etnik Serbia yang menetap di wilayah utara Kosovo.

Selain itu, kerajaan serbia melihat pelan damai itu tidak memberi kuasa autonomi kepada etnik minoriti Serbia.

Sebelum ini, rundingan Serbia dan Kosovo bagi menyelesaikan kemelut di utara menemui jalan buntu.

Rundingan lapan pusingan turut berlangsung di Brussels, Belgium bagi mencari kaedah terbaik menamatkan konflik etnik di kawasan tersebut.

Penolakan terhadap pelan tajaan EU itu turut memberi kesan kepada dana bantuan berjumlah jutaan dolar Amerika selain kemungkinan peningkatan ketegangan di Balkan.

Serbia yang konsisten menolak kemerdekaan Kosovo pada 2008 mendapat sokongan padu Rusia walaupun kemerdekaan itu disokong 90 negara termasuk Amerika Syarikat dan majoriti negara EU.