Serpihan roket China dijangka terhempas ke bumi, berpotensi jatuh di kawasan berpenduduk

Astro Awani
Julai 28, 2022 01:10 MYT
Serpihan itu adalah sebahagian daripada roket Long March 5b China yang dilancarkan pada Ahad lalu dari Pusat Pelancaran Angkasa Wenchang di selatan China. -Gambar fail/AP
EL SEGUNDO: Serpihan roket angkasa lepas China dijangka terhempas ke bumi dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Pertubuhan angkasa yang dibiayai Amerika Syarikat (AS), Aerospace Corp maklumkan, ia serpihan berpotensi menimpa merentasi kawasan yang luas di seluruh dunia.
Serpihan itu adalah sebahagian daripada roket Long March 5b China yang dilancarkan pada Ahad lalu dari Pusat Pelancaran Angkasa Wenchang di selatan China.
Agensi berpangkalan di El Segundo, California itu memaklumkan, serpihan roket tersebut dijangka mula memasuki semula ruang udara bumi tanpa kawalan sekitar 31 Julai ini.
Ia turut meramalkan medan serpihan roket pengangkutan itu yang mungkin meliputi kebanyakan kawasan di sebahagian besar Amerika Syarikat selain Afrika, Australia, Brazil, India dan Asia Tenggara.
Roket pengangkut seberat 23 tan metrik itu adalah sebahagian daripada apa yang dikatakan pengkritik sebagai siri kemalangan tidak terkawal yang menonjolkan risiko perlumbaan angkasa lepas China yang semakin meningkat dengan Amerika Syarikat.
Aerospace Corp berkata, disebabkan sifatnya yang tidak dapat dikawal, terdapat kebarangkalian serpihan berkenaan akan jatuh di kawasan berpenduduk — lebih 88 peratus penduduk dunia tinggal di dalam lingkungan di mana serpihan itu berpotensi jatuh.
Pada Mei 2021, serpihan satu lagi roket Long March telah jatuh di Lautan Hindi, menimbulkan kebimbangan terhadap tindakan agensi angkasa lepas China yang hilang kawalan ke atas roket yang dilancarkan semasa ia jatuh kembali ke bumi.
Pelancaran roket terbaru China itu adalah bagi menghantar modul ke stesen angkasa negara, termasuk pemacu untuk meletakkan kapal angkasa di orbit.
Pakar di pusat astrofizik dikendalikan Universiti Harvard dan Institusi Smithsonian, Jonathan McDowell berkata, pemacu itu kini mati dan di luar kawalan agensi angkasa China.
Tambahnya, percaturan China mengharapkan serpihan itu akan jatuh di lautan, namun terdapat banyak kawasan berpenduduk padat dalam lingkungan di mana serpihan itu dijangka jatuh.
#Long March 5B #Aerospace Corp #roket angkasa lepas China #terhempas ke bumi