WASHINGTON: Setiausaha Akhbar White House yang baharu, Katie Zacharia membuat penampilan sulung dalam sesi taklimat media pada Selasa, namun hanya menjawab beberapa soalan wartawan sambil tidak berselindung mengenai kekagumannya terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
“Saya kini dapat melakukan apa yang sudah saya lakukan sebelum ini, iaitu membantu memperkuat, memperluas dan menyebarkan agenda luar biasa Presiden Trump untuk rakyat Amerika,” katanya ketika menjelaskan pendekatan yang mahu dibawanya menerusi jawatan itu.
Zacharia, 41, yang merupakan penyokong tegar gerakan berhaluan kanan Make America Great Again (MAGA), mengambil alih peranan komunikasi White House ketika Parti Republikan berdepan amaran kemungkinan mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya separuh penggal akan datang.
Beliau juga menggantikan bekas setiausaha akhbar, Karoline Leavitt yang dikenali dengan pendekatannya yang lantang tetapi berkemahiran tinggi, ketika tinjauan pendapat menunjukkan populariti Trump, 80, semakin merosot.
Tidak begitu dikenali masyarakat umum, Zacharia memulakan sesi pertamanya di podium bilik taklimat White House dengan membaca, pada rentak yang agak perlahan, senarai panjang mengenai apa yang disifatkannya sebagai pencapaian di bawah kepimpinan Trump yang “bertenaga.”
Kebiasaannya, pembukaan seumpama itu, yang dikenali sebagai “topper” dalam kalangan media White House, disusuli sesi soal jawab panjang bersama wartawan, adakalanya membabitkan puluhan soalan.
Namun, Zacharia hanya mengambil soalan daripada tiga organisasi media.
Soalan pertama diberikan kepada laman berhaluan kanan Breitbart, diikuti Fox News yang merupakan antara saluran media utama yang menyokong Trump, sebelum soalan terakhir diberikan kepada laman tabloid Daily Mail.
Selepas hanya kira-kira 15 minit, Zacharia menamatkan sesi taklimat dan meninggalkan bilik berkenaan ketika wartawan terus melaungkan soalan yang tidak dijawab.
“Saya fikir dia sangat baik,” kata Trump kepada wartawan selepas itu.
Trump terus jadi fokus
Sebelum menyertai White House, Zacharia merupakan pengulas di Fox News dan Newsmax yang berhaluan kanan, selain pernah memberikan khidmat nasihat kepada Trump Media and Technology, kumpulan di sebalik platform Truth Social milik Trump.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan sama ada akan mengambil pendekatan agresif susulan tindakan pentadbiran Trump terhadap beberapa organisasi media AS yang tidak disenangi Presiden itu.
Terbaharu, pentadbiran Trump terlibat dalam pertikaian undang-undang dengan CNN, MSNOW dan Politico berhubung usaha untuk menyekat organisasi terbabit daripada akses ke White House.
Pengarah Komunikasi White House, Steven Cheung memuji penampilan Zacharia dengan berkata beliau berjaya “menguasai bilik” selain mengingatkan rakyat Amerika mengenai “kerja hebat” yang dilakukan Trump.
Sebaliknya, pengulas liberal Brian Krassenstein meramalkan Zacharia akan menjadi satu “bencana”, manakala tabloid New York Post menyifatkan beliau kelihatan “jelas gugup.”
Zacharia turut membuat satu pengumuman penting apabila memaklumkan Trump memecat duta AS ke Greece susulan skandal rasuah.
Namun, sebahagian besar mesej yang disampaikannya tertumpu kepada usaha menonjolkan imej positif Trump, ketika pemimpin Republikan itu berdepan kemerosotan sokongan dalam tinjauan pendapat susulan perang terhadap Iran, kesukaran ekonomi serta pelbagai kontroversi domestik.
“Ini adalah seorang Presiden dan pentadbiran yang menjaga kepentingan anda, rakyat Amerika,” katanya sambil menyifatkan dirinya “sangat teruja untuk secara rasmi menjadi sebahagian daripada perjalanan luar biasa ini.”
Ketika ditanya sama ada tugas baharunya yang mencabar akan memberi kesan terhadap kehidupan peribadi, Zacharia menjelaskan bagaimana beliau yang juga seorang ibu kepada empat anak sedang menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.
Namun, beliau tersasul ketika menjawab soalan itu sehingga mencetuskan ketawa dalam kalangan wartawan.
“Presiden saya... maaf, suami saya,” katanya. - Agensi