SAN DIEGO: Seekor anak aardvark yang baru dilahirkan di Zoo San Diego, Amerika Syarikat dilaporkan dalam keadaan sihat dan membesar dengan pantas, menurut pakar hidupan liar.

AP melaporkan, aardvark betina itu dilahirkan pada 10 Mei lalu dan akan terus menyusu daripada ibunya, Zola, selama kira-kira enam bulan. 

Petugas khas di San Diego Zoo Wildlife Alliance terus memantau perkembangan anak aardvark itu yang merupakan kelahiran pertama dalam tempoh hampir empat dekad.

“Ia sangat aktif. Hanya beberapa jam selepas dilahirkan, ia menggunakan kukunya yang tajam untuk mengorek tanah seperti fitrah aardvark dewasa," ujar ketua pakar penjagaan haiwan liar, Cari Inserra.

Haiwan bertelinga panjang, dan masih belum tumbuh bulu itu menunjukkan peningkatan berat badan sebanyak tiga kali ganda dalam tempoh lima minggu.

Ia belum diberikan nama, dan akan kekal dalam penjagaan tanpa ditunjuk kepada pengunjung zoo buat masa ini. Tempoh dua bulan diperlukan untuk memberikan ia masa yang ideal bersama induknya.

“Kami tidak sabar untuk menunjukkan haiwan ini kepada pengunjung zoo, sekali gus membimbing mereka untuk mempelajari tentang spesies hebat ini," kata Inserra.

Aardvark merupakan haiwan natif di sub-Sahara Afrika. ia memiliki pasangan kaki depan yang kuat dan kuku yang panjang bagi membantunya mengorek tanah untuk membuat lubang sarang seterusnya berehat pada waktu siang.

Ia menggunakan lidahnya yang panjang dan melekit untuk mencari makanan kegemarannya iaitu semut dan anai-anai.