[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Setengah juta penduduk Palestin terkepung di bandar Gaza - UNRWA

Bernama 30/09/2025 | 06:30 MYT
PBB memberi amaran bahawa Gaza kini berdepan salah satu bencana kemanusiaan paling dahsyat dalam zaman moden. - Gambar/ AP
NEW YORK: Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Isnin mendedahkan bahawa rejim Israel mengepung kira-kira setengah juta penduduk Palestin di Bandar Gaza dalam kawasan tidak lebih daripada lapan kilometer persegi.


Ringkasan AI
  • Rejim Israel mengepung kira-kira 500,000 penduduk Palestin di Bandar Gaza dalam kawasan sempit tidak melebihi lapan kilometer persegi, menyebabkan kepadatan ekstrem sehingga 70,000 orang berhimpit di setiap kilometer persegi tanpa ruang untuk mendirikan khemah.
  • UNRWA dan IPC mengesahkan kebuluran telah berlaku di Gaza, melepasi piawaian antarabangsa Fasa 5, dengan krisis dijangka merebak ke Deir al-Balah dan Khan Yunis menjelang akhir September akibat sekatan berterusan terhadap makanan dan ubat-ubatan.
  • PBB memberi amaran bahawa Gaza kini berdepan salah satu bencana kemanusiaan paling dahsyat dalam zaman moden, dan menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata serta kemasukan bantuan kemanusiaan segera.


Jurucakap UNRWA, Adnan Abu Hasna berkata kepungan itu menyebabkan kira-kira 70,000 orang berhimpit di setiap kilometer persegi tanpa ruang walaupun untuk mendirikan sebuah khemah, menyebabkan puluhan ribu keluarga hidup gelandangan.

Beliau menegaskan kebuluran kini telah merebak bersama-sama penduduk yang dipindahkan dari Bandar Gaza ke bahagian tengah dan selatan Semenanjung Gaza, sambil menekankan keperluan mendesak bagi gencatan senjata segera serta membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan.

Pada 22 Ogos, Inisiatif Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang disokong agensi-agensi khusus PBB dalam laporan rasmi mengesahkan kebuluran telah berlaku di Gaza selepas kadar kelaparan dan kekurangan zat makanan akut melepasi piawaian antarabangsa Fasa 5, berikutan pencerobohan Israel yang berterusan dan sekatan ke atas wilayah berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa krisis akan bertambah buruk dengan kebuluran dijangka merebak ke Deir al-Balah dan Khan Yunis menjelang akhir September.

PBB memberi amaran bahawa penduduk Gaza kini berdepan satu daripada bencana kemanusiaan paling dahsyat dalam zaman moden, sementara sekatan terhadap kemasukan makanan dan ubat-ubatan terus menghalang penduduk daripada memenuhi keperluan paling mendesak.

-- BERNAMA





#Genosid Gaza #kekejaman israel #UNRWA #kebuluran