DUNIA

Setiausaha Luar UK diberi amaran kerana memancing tanpa lesen bersama Naib Presiden AS

Agensi 22/08/2025 | 23:20 MYT
David Lammy (kanan) dan JD Vance memancing di tasik kawasan Chevening House di Kent, England, pada 8 Ogos lalu. - Gambar AP
LONDON: Setiausaha Luar United Kingdom (UK), David Lammy, diberi amaran bertulis oleh Agensi Alam Sekitar negara itu selepas didapati memancing tanpa lesen ketika bersama Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance, awal bulan ini.

Insiden itu berlaku pada 8 Ogos lalu ketika Lammy menjadi hos kepada Vance dan keluarganya yang bercuti di England.

Mereka menghabiskan masa di estet peribadinya di selatan London, di mana Vance dilihat memberi tip ‘gaya Kentucky’ untuk memancing.

Namun, menurut Lammy, walaupun anak-anak Vance berjaya menaikkan ikan, beliau sendiri pulang dengan tangan kosong.

Agensi Alam Sekitar dalam kenyataannya memaklumkan, kesalahan itu boleh dikenakan denda sehingga 2,650 pound (AS$3,380), tetapi Lammy hanya menerima amaran selepas beliau membeli lesen memancing dan melaporkan sendiri pelanggaran tersebut.

Jurucakap Lammy menyifatkan insiden itu sebagai “kecuaian pentadbiran.”

Dalam peraturan di England dan Wales, sesiapa berusia 13 tahun ke atas wajib memiliki lesen untuk aktiviti memancing di air tawar.

Biasanya, pemancing baharu yang tersilap akan diberikan amaran sahaja.

Agensi berkenaan bagaimanapun enggan mengulas sama ada Vance memiliki lesen, dengan alasan perlindungan data. - Agensi




#Menteri Luar UK #amaran #memancing tanpa lesen #David Lammy #Naib Presiden AS #JD Vance