Shehbaz Sharif dipilih sebagai PM baharu Pakistan

Bernama
Mac 3, 2024 11:11 MYT
Parlimen Pakistan pada Ahad memilih Shehbaz Sharif sebagai perdana menteri ke-24 negara itu untuk penggal kedua, tiga minggu selepas pengundian pada 8 Feb. - Foto AP
KARACHI (Pakistan): Parlimen Pakistan pada Ahad memilih Shehbaz Sharif sebagai perdana menteri ke-24 negara itu untuk penggal kedua, tiga minggu selepas pengundian pada 8 Feb, lapor Agensi Anadolu (AA).
Shehbaz ialah adik kepada Presiden Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) Nawaz Sharif yang sebelum ini pernah menjadi perdana menteri sebanyak tiga kali.
Beliau memperoleh 201 undi di Dewan Rakyat untuk mengalahkan pesaingnya Omer Ayub Khan dari Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) iaitu parti bekas perdana menteri Imran Khan.
Omer Ayub Khan sekadar memperoleh 92 undi.
Calon memerlukan sekurang-kurangnya 169 undi dalam dewan yang mempunyai 336 ahli.
Shehbaz dijangka mengangkat sumpah jawatan pada Isnin.
-- BERNAMA
#Shehbaz Sharif #PM baharu Pakistan #perdana menteri pakistan #pengundian