SHENZHEN: Pihak berkuasa bandar raya Shenzhen di selatan China berikrar untuk memanfaatkan semua sumber bagi mengawal penularan COVID-19, dengan melaksanakan saringan kesihatan dan pemeriksaan suhu yang ketat, serta sekatan pergerakan bagi penghuni bangunan yang terkesan dengan jangkitan.

Shenzhen yang berpopulasi hampir 18 juta orang, mencatatkan 22 kes jangkitan tempatan pada Rabu, dengan jumlah kes harian yang bertambah.

Walaupun bilangan kes baharu masih rendah berbanding standard global, peningkatan yang perlahan tapi nyata itu memaksa pihak berkuasa Shenzhen meningkatkan pengawasan demi mematuhi polisi sifar dinamik yang ditetapkan pentadbiran pusat.

Shenzhen bagaimanapun belum mengenakan perintah penutupan perniagaan atau menghalang pergerakan orang ramai, namun sudah melaksanakan langkah seperti menutup kawasan kejiranan dan bangunan yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Semua langkah itu diambil bagi mengelakkan berlakunya gangguan yang tidak perlu ke atas kelancaran ekonomi.

Ketua Parti Komunis Shenzhen, Meng Fanli, berkata bandar raya itu akan mengambil langkah sewajarnya supaya tidak berlaku penularan dalam kalangan komuniti di kawasan utama, selain menangani kes jangkitan dengan segera.

Daripada 22 kes baharu pada Rabu, 13 kes dikesan di Nanshan, iaitu daerah yang menempatkan syarikat gergasi seperti Tencent dan DJI.

Mac lalu, dalam perkembangan seumpamanya, penduduk diminta mengikuti saringan ujian dan kebanyakannya diminta duduk di rumah, dan hanya seorang wakil keluarga dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.

Perkhidmatan bas dan kereta api bawah tanah juga dihentikan operasi, sementara perniagaan yang bukan sektor utama ditutup sementara. Para pekerja syarikat juga diminta bekerja dari rumah.