DUNIA

AS siasat kes botulisme bayi dikaitkan dengan susu formula tercemar

Bernama 11/11/2025 | 11:00 MYT
Menurut CDC, gejala botulisme bayi termasuk sembelit, kesukaran menyusu dan sukar menelan. - Gambar hiasan/Adobe Stock Images
LOS ANGELES: Siasatan sedang dijalankan berhubung kes botulisme bayi yang dilaporkan di 10 negeri di Amerika Syarikat (AS), berkemungkinan berpunca daripada susu formula tercemar, lapor Xinhua memetik Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC).


Ringkasan AI
  • Siasatan sedang dijalankan berhubung kes botulisme bayi di 10 negeri di AS yang berkemungkinan berpunca daripada susu formula tercemar, lapor CDC.
  • Sebanyak 13 bayi dilaporkan menghidap botulisme selepas mengambil susu formula jenama "ByHeart Whole Nutrition", yang didapati tercemar dengan bakteria Clostridium botulinum.
  • Pihak kesihatan di beberapa negeri mengumpul baki susu formula untuk ujian makmal; FDA menggesa syarikat ByHeart menarik balik produk terlibat dan syarikat bersetuju menarik balik dua kelompok produk susulan peningkatan kes botulisme.


Setakat 8 Nov, 13 bayi dilaporkan disyaki atau disahkan menghidap botulisme selepas mengambil susu formula jenama "ByHeart Whole Nutrition", yang dipercayai tercemar dengan bakteria Clostridium botulinum, menurut data epidemiologi CDC.

Gejala penyakit bermula antara pertengahan Ogos hingga November, dengan semua bayi berusia antara 16 hingga 157 hari dimasukkan ke hospital dan dirawat menggunakan ubat intravena BabyBIG, yang digunakan untuk merawat botulisme bayi akibat toksin jenis A atau B.

Tiada kematian dilaporkan setakat ini dan pihak kesihatan di beberapa negeri bertindak mengumpul baki susu formula daripada kediaman terlibat untuk ujian makmal.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA) menggesa syarikat ByHeart supaya menarik balik produk terlibat secara sukarela susulan peningkatan jumlah kes, tahap keterukan jangkitan, serta bukti epidemiologi yang menunjukkan kaitan kukuh.

Syarikat itu bersetuju menarik balik dua kelompok produk Whole Nutrition Infant Formula.

Menurut CDC, gejala botulisme bayi termasuk sembelit, kesukaran menyusu, sukar menelan, dan biasanya muncul beberapa minggu selepas pengambilan susu formula tercemar.

-- BERNAMA





#kes botulisme bayi #susu formula di Amerika Syarikat #ByHeart Whole Nutrition #Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS