INTERNATIONAL
Sidang GCC-ASEAN kukuh perkongsian strategik, seru tangani krisis Gaza

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama Sheikh Sabah (sembilan, kiri) serta pemimpin negara ASEAN dan GCC sempena Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di Kuala Lumpur pada Selasa. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Para pemimpin Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bersetuju memperkukuhkan komitmen bersama dalam membina perkongsian strategik antara negara rantau berkenaan dan ASEAN.
Ringkasan AI
- Pemimpin GCC bersetuju memperkukuh perkongsian strategik dengan ASEAN berdasarkan kepentingan bersama, pembangunan mampan, dan prinsip undang-undang antarabangsa, dengan kerangka kerjasama 20242028 yang dimulakan sejak Sidang Kemuncak Riyadh 2023.
- Gabungan ASEAN-GCC mewakili kuasa ekonomi dan kemanusiaan besar dengan KDNK gabungan AS$16.6 trilion dan populasi 740 juta, serta berpotensi besar dalam bidang seperti AI, keselamatan siber, dan kestabilan geopolitik.
- GCC menyeru kerjasama lebih erat dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza, memerangi keganasan, dan menyokong penubuhan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Podcast ini dijana oleh AI menggunakan data yang sahih dan telah disemak mengikut piawaian kewartawanan AWANI.
“Sidang Kemuncak Riyadh pertama, yang berlangsung pada 20 Oktober 2023, merupakan permulaan penting yang melakar kerangka kerjasama menyeluruh bagi tempoh 2024-2028, bertujuan membentuk asas kukuh bagi perkongsian agar ia dapat mendorong pembangunan pesat.
“Kepentingan perkongsian ini terletak pada hakikat, kedua-dua pihak mewakili kuasa ekonomi dan kemanusiaan kolektif dengan jumlah KDNK sekitar AS$16.6 trilion, merangkumi kira-kira 740 juta penduduk.
“Ini termasuk jaringan koridor maritim dan perdagangan yang menghubungkan rantau-rantau dunia, memberikan pengaruh geopolitik dan strategik ke atas kestabilan serantau dan pertumbuhan ekonomi global,” katanya.
Baginda berkata demikian dalam ucaptama Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di Kuala Lumpur pada Selasa.
Baginda turut memandang dari sudut positif dan optimistik terhadap pencapaian sejak sidang kemuncak pertama dan menekankan pentingnya membina dari inisiatif terdahulu, terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.
“Dari aspek politik dan praktikal, kami kekal komited kepada dialog konstruktif, saling memahami, penghormatan terhadap kedaulatan dan prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman demi kestabilan serantau dan antarabangsa,” katanya.
Dalam masa sama, baginda turut menyeru kerjasama lebih erat dalam memerangi keganasan, ekstremisme, jenayah terancang, pertukaran maklumat keselamatan dan peningkatan keupayaan dalam menangani krisis terutama di Gaza.
“GCC dan ASEAN mesti bekerjasama dalam menyelesaikan krisis kemanusiaan di Gaza serta konflik Palestin-Israel, dan menyokong rakyat Palestin dalam menubuhkan negara merdeka berdasarkan sempadan 4 Jun 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
“Kami menyeru komuniti antarabangsa untuk memikul tanggungjawab undang-undang, moral dan kemanusiaan bagi menghentikan keganasan serta menjamin perlindungan antarabangsa untuk orang awam dan keamanan sejagat,” katanya.
Sheikh Sabah tiba di Kuala Lumpur malam tadi untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung kalinya.
Beliau mewakili Amir Kuwait Sheikh Meshal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah mengetuai delegasi negara itu ke mesyuarat peringkat tinggi berkenaan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini dan esok.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami