DUNIA
Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam: Emir Qatar kecam Israel, ikrar pertahan kedaulatan negara

Sheikh Tamim menuduh Israel tidak berminat dengan keamanan, malah cuba memusnahkan Gaza. - Gambar Reuters
DOHA: Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani berikrar untuk mempertahankan kedaulatan negaranya serta berdepan dengan apa yang disifatkannya sebagai keganasan Israel, susulan serangan udara ke atas Doha minggu lalu yang meragut enam nyawa.
Dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Luar Biasa Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini, Sheikh Tamim mengecam serangan itu sebagai “terang-terangan, khianat dan pengecut”, sambil menegaskan Israel cuba menggagalkan rundingan gencatan senjata Gaza.
“Ibu negara saya menjadi sasaran serangan khianat yang menjejaskan kediaman keluarga pemimpin Hamas dan delegasi perunding mereka. Dunia terkejut dengan tindakan pengecut itu,” katanya.
“Kami tekad melakukan apa sahaja yang perlu untuk mempertahankan kedaulatan kami dan berdepan dengan keganasan Israel,” tegasnya lagi.Doha yang menempatkan pangkalan tentera terbesar Amerika Syarikat di rantau ini menyifatkan serangan itu sebagai “keganasan negara.”
Bahkan, Sheikh Tamim turut menuduh Israel tidak berminat dengan keamanan, malah cuba memusnahkan Gaza.
“Perang Israel di Gaza sudah berubah menjadi perang kemusnahan. Mereka mahu menjadikan Gaza tidak lagi sesuai didiami sebagai langkah awal untuk mengusir penduduknya,” katanya.
Kecaman antarabangsa dan ancaman baharu Israel
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk sekutu rapat Israel, Amerika Syarikat, telah mengecam serangan Israel ke atas Doha.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani menegaskan, negaranya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang pelanggaran kedaulatan lagi dan menyifatkan Israel sebagai “menggugat kestabilan serantau secara melulu.”
Namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tetap bertegas akan menyerang pemimpin Hamas “di mana sahaja mereka berada” sekiranya Qatar tidak mengusir mereka.
Kenyataan itu dibuat ketika Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dijadualkan berkunjung ke Doha pada Selasa.
Kunjungan itu dilakukan selepas Presiden Donald Trump memberi jaminan kepada Sheikh Tamim bahawa insiden serangan di tanah Qatar “tidak akan berulang.”
Inisiatif Keamanan Arab dan amaran Sheikh Tamim
Emir Qatar turut menegaskan, ilusi bahawa rantau Arab boleh dijadikan “zon pengaruh Israel” adalah berbahaya.
Beliau menambah, penolakan Israel terhadap Inisiatif Keamanan Arab sejak 2002 menjadi punca berulangnya keganasan di rantau ini.
“Inisiatif itu menawarkan normalisasi penuh dengan dunia Arab sebagai balasan pengunduran Israel dari semua wilayah yang diduduki. Jika ia diterima, rantau ini mungkin terselamat daripada pelbagai tragedi,” katanya.
GCC aktifkan mekanisme pertahanan bersama
Dalam masa sama, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dalam kenyataan bersama mengutuk keras serangan Israel dan menyatakan solidariti penuh dengan Qatar.
GCC yang dianggotai Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu berkata, rundingan segera antara badan ketenteraan sedang diadakan dengan arahan kepada Komando Ketenteraan Bersatu untuk mengaktifkan mekanisme pertahanan bersama serta keupayaan penangkis Teluk.
Deklarasi sidang kemuncak
Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha yang menghimpunkan 57 negara OIC dan 22 negara anggota Liga Arab turut meluluskan deklarasi bersama yang menyifatkan tindakan ganas Israel menutup sebarang prospek keamanan di rantau itu.
Kenyataan itu menyokong peranan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat sebagai pengantara rundingan, namun menolak apa yang digelar sebagai “ancaman berulang Israel” terhadap Doha.
Para pemimpin juga menggesa komuniti antarabangsa mengambil tindakan segera menghentikan serangan, selain mendesak negara-negara anggota OIC meneliti semula keanggotaan Israel dalam PBB yang didakwa terus melanggar piagam serta resolusi antarabangsa. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami