[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Ibu Dijatuhkan Hukuman Penjara – Ikuti Perkembangan di Sini!
DUNIA

Sidang kemuncak pemimpin APEC bermula di sebalik ketidaktentuan perdagangan global

Bernama 31/10/2025 | 02:15 MYT
Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung memainkan peranan utama dalam membina konsensus, dengan harapan menghasilkan "Deklarasi Gyeongju". - Foto REUTERS
GYEONGJU: Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bermula pada Jumaat dengan kehadiran para pemimpin dunia bagi membincangkan langkah memperkukuh daya tahan dan merangsang pertumbuhan ekonomi di tengah-tengah peningkatan perdagangan unilateral dan halangan lain, lapor Agensi Berita Yonhap.


Ringkasan AI
  • Sidang dua hari APEC bermula di Korea Selatan, menghimpunkan pemimpin dari 21 negara anggota dan wakil antarabangsa untuk membincangkan integrasi ekonomi serantau, perdagangan bebas, dan daya tahan ekonomi.
  • Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung memainkan peranan utama dalam membina konsensus, dengan harapan menghasilkan "Deklarasi Gyeongju" yang menonjolkan inisiatif AI dan demografi serta memperkukuh kerjasama serantau.
  • Tumpuan diberikan kepada isu perdagangan global, termasuk perbezaan pandangan terhadap multilateralisme dan sistem WTO, dengan rundingan akhir sedang dijalankan bagi mencapai persetujuan sebulat suara terhadap kenyataan bersama.


Perhimpunan dua hari itu menghimpunkan pemimpin daripada 21 anggota APEC, negara jemputan dan wakil pertubuhan antarabangsa, dengan tumpuan diberikan kepada usaha mengekalkan perdagangan bebas dan memperkukuh integrasi ekonomi serantau.

Antara pemimpin yang hadir ialah Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi. Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tidak menyertai sidang kemuncak itu setelah menghadiri forum perniagaan serta mengadakan pertemuan dengan Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung dan Xi sebelum berlepas pulang.

Majlis pembukaan dimulakan dengan ucapan alu-aluan Presiden Lee kepada para pemimpin dan tetamu sebelum sesi pertama bermula di bawah tema "Towards a More Connected Resilient Region and Beyond."

Pejabat Presiden Korea Selatan memaklumkan, para pemimpin akan membincangkan cara menjadikan rantau Asia Pasifik "lebih terbuka, dinamik dan berdaya tahan."

"Presiden Lee akan memainkan peranan sebagai jambatan untuk membantu membina konsensus dalam kalangan pemimpin mengenai keperluan mempererat kerjasama.

"Matlamat kami adalah untuk mengembalikan komitmen rantau ini terhadap semangat kerjasama serta merangka langkah konkrit agar APEC kekal sebagai forum ekonomi utama dan platform relevan bagi masa depan," katanya.

Sebagai tuan rumah APEC tahun ini, Korea Selatan berharap dapat mempamerkan hasil persidangan yang dipersetujui semua anggota melalui "Deklarasi Gyeongju" yang dicadangkan, di samping menonjolkan inisiatif negara itu dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan perubahan demografi.

Sepanjang dua sesi perbincangan, para pemimpin akan menilai saranan yang dikemukakan oleh pegawai kanan luar negeri dan perdagangan APEC mengenai cara meningkatkan kemakmuran serantau melalui usaha seperti memperkukuh rantaian bekalan dan mempercepat peralihan digital.

Tumpuan utama juga diberikan kepada sejauh mana para pemimpin dapat mencapai konsensus mengenai hala tuju perdagangan antarabangsa, memandangkan pandangan berbeza terhadap sistem perdagangan bebas global berasaskan multilateralisme dan sistem Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakan anggota APEC menegaskan sokongan terhadap perdagangan bebas berasaskan sistem WTO dan komitmen kepada multilateralisme.

Deklarasi pemimpin hanya boleh diterima pakai dengan persetujuan sebulat suara daripada semua anggota APEC.

Selepas mesyuarat menteri APEC terakhir pada Khamis, Menteri Luar Korea Selatan Cho Hyun berkata forum itu "sangat hampir" mencapai persetujuan terhadap kenyataan bersama, dengan rundingan akhir sedang dijalankan berhubung kenyataan menteri yang akan dikemukakan kepada sesi pemimpin.

"Kami menjangkakan dokumen itu akan diterima pakai menjelang hari Sabtu, apabila kami mengadakan pemukiman pemimpin," kata Cho.

-- BERNAMA







#APEC #sidang kemuncak #pertumbuhan ekonomi #perdagangan global