Sidang kemuncak Trump-Putin ditangguh

Sidang kemuncak terakhir antara Trump dan Putin berlangsung lebih dua bulan lalu di Anchorage, Alaska selama hampir tiga jam tanpa menghasilkan sebarang perjanjian. - Gambar Reuters
ANKARA: Rancangan untuk mengadakan sidang kemuncak baharu antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin ditangguhkan selepas mesyuarat awal antara pegawai tertinggi hal ehwal luar kedua-dua negara ditunda, lapor media pada Selasa.
Trump awal minggu ini berkata "penasihat peringkat tinggi" dari kedua-dua negara akan bertemu untuk membuat persiapan bagi kemungkinan sidang kemuncak di Budapest, Hungary susulan perbualan telefon beliau dengan Putin, lapor Anadolu Ajansi memetik CNN.
Trump menulis di Truth Social bahawa delegasi AS akan diketuai oleh Setiausaha Negara Marco Rubio "bersama beberapa individu lain yang akan dinamakan kemudian".
Bagaimanapun, seorang pegawai Rumah Putih memberitahu CNN bahawa mesyuarat yang dijangka berlangsung antara Rubio dan Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov "ditangguhkan buat masa ini".Tiada sebab segera diberikan berhubung penangguhan itu, namun menurut satu sumber, kedua-dua pihak mempunyai pandangan berbeza mengenai kemungkinan menamatkan konflik Rusia-Ukraine.
"Presiden Trump secara konsisten berusaha mencari penyelesaian aman dan diplomatik untuk menamatkan perang yang tidak masuk akal ini serta menghentikan pembunuhan," kata Timbalan Setiausaha Akhbar Rumah Putih Anna Kelly.
Menurut kenyataan Jabatan Negara AS, Rubio dan Lavrov bercakap melalui telefon pada Isnin dan membincangkan "langkah seterusnya" susulan panggilan telefon antara Trump dan Putin minggu lalu.
Rubio "menekankan kepentingan pertemuan yang akan datang sebagai peluang untuk Moscow dan Washington bekerjasama ke arah penyelesaian berkekalan bagi konflik Rusia-Ukraine, selaras dengan visi Presiden Trump."
Kremlin menyifatkan perbualan itu sebagai "konstruktif" dan memberi tumpuan kepada "langkah-langkah konkrit yang boleh diambil untuk melaksanakan persefahaman" yang dicapai antara kedua-dua presiden.
Seorang sumber yang mengetahui rundingan itu memberitahu CNN bahawa selepas perbualan tersebut, pegawai AS menyimpulkan bahawa pendirian Rusia masih tidak banyak berubah dan kekal dengan tuntutan tegasnya."
Buat masa ini, Rubio tidak dijangka akan mengesyorkan agar pertemuan Trump-Putin diteruskan minggu depan, walaupun perbincangan lanjut antara kedua-dua diplomat masih berkemungkinan diadakan.
Sidang kemuncak terakhir antara Trump dan Putin berlangsung lebih dua bulan lalu di Anchorage, Alaska selama hampir tiga jam tanpa menghasilkan sebarang perjanjian.
Sejak itu, Trump telah menggesa Kyiv dan Moscow untuk "menamatkan konflik dengan segera."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami