KIRA-kira 15,000 pengguna mengalami gangguan bekalan elektrik di Auckland, utara New Zealand akibat siklon Gabrielle melanda negara itu, menurut syarikat tenaga tempatan Vector pada Ahad.

"Siklon Gabrielle mengakibatkan gangguan bekalan elektrik yang meluas, terutamanya di seluruh utara Auckland. Krew kami bertindak balas secepat mungkin.

"Sehingga 7 malam [06:00 GMT], kira-kira 15,000 pengguna terputus bekalan elektrik," menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

Firma itu memaklumkan bahawa gangguan bekalan elektrik dijangka berterusan sehingga Isnin, berikutan keadaan cuaca bertambah buruk, lapor Sputnik.

Pengurusan Kecemasan Auckland menggesa orang ramai bersiap sedia menghadapi gangguan bekalan elektrik besar-besaran termasuk menyimpan stok makanan, bateri, selimut, dan pakaian tebal, serta mengikuti perkembangan semasa di radio.

Orang ramai menunggu di balai pelepasan di Lapangan Terbang Auckland Airport selepas penerbangan dibatalkan akibat cuaca buruk susulan siklon yang melanda utara New Zealand, 12 Feb 2023. (Foto AP)

--BERNAMA