[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Sindiket jenayah Myanmar dihukum di China, 11 dijatuhi hukuman mati

Astro Awani 30/09/2025 | 05:40 MYT
Mahkamah di China menjatuhkan hukuman mati terhadap 11 anggota sindiket jenayah keluarga Ming dari Kokang, Myanmar, atas kesalahan termasuk penipuan dalam talian, pembunuhan dan pemerdagangan manusia. -Gambar hiasan
BEIJING: Mahkamah Rakyat Pertengahan Wenzhou, Zhejiang, China pada Isnin menjatuhkan hukuman mati terhadap 11 anggota sindiket jenayah terancang yang berpangkalan di Kokang, Myanmar, atas kesalahan penipuan dalam talian, perjudian haram, pembunuhan dan pemerdagangan manusia.


Ringkasan AI
  • Mahkamah di China menjatuhkan hukuman mati terhadap 11 anggota sindiket jenayah keluarga Ming dari Kokang, Myanmar, atas kesalahan termasuk penipuan dalam talian, pembunuhan dan pemerdagangan manusia.
  • Sindiket ini memaksa ribuan pekerja menjalankan penipuan pelaburan dan percintaan dalam talian, dengan mangsa yang cuba melarikan diri diseksa atau dibunuh.
  • Kes ini melibatkan hasil jenayah lebih 10 bilion yuan dan menjadi antara tindakan undang-undang terbesar China terhadap jenayah rentas sempadan, dengan lebih 80,000 suspek ditahan setakat Julai lalu.


Kesemua tertuduh merupakan ahli keluarga Ming, yang dikenal pasti sebagai dalang utama operasi pusat penipuan dan aktiviti jenayah rentas sempadan sejak tahun 2015.

Mereka didapati bersalah atas 14 pertuduhan termasuk pembunuhan 14 warga China dan mencederakan enam yang lain.

Selain 11 hukuman mati, lima lagi tertuduh menerima hukuman mati dengan penangguhan dua tahun, 11 dipenjara seumur hidup, dan selebihnya dijatuhi hukuman penjara antara lima hingga 24 tahun serta denda dan penyitaan aset.

Menurut kenyataan mahkamah, antara lokasi operasi utama sindiket ini ialah kompleks “Crouching Tiger Villa” di Kokang, Myanmar, yang menempatkan ribuan pekerja paksa dalam keadaan tidak berperikemanusiaan.

Sindiket ini juga mendapat sokongan bersenjata daripada kumpulan lain, dan memaksa ribuan pekerja yang diperdagangkan untuk menjalankan penipuan pelaburan dan percintaan dalam talian.

Mangsa yang cuba melarikan diri dilaporkan ditembak atau diseksa, termasuk insiden yang menyebabkan 10 kematian dan dua kecederaan serius.

Kejatuhan keluarga Ming bermula dua tahun lalu apabila gabungan kumpulan bersenjata tempatan, dengan sokongan tidak langsung dari Beijing, berjaya menyingkirkan tentera Myanmar dari kawasan Laukkai dan menyerahkan beberapa anggota sindiket kepada pihak berkuasa China.

Jumlah hasil penipuan dan perjudian haram yang dikendalikan oleh kumpulan ini dianggarkan melebihi 10 bilion yuan (RM6.5 bilion), menjadikan kes ini antara yang terbesar dalam sejarah tindakan undang-undang China terhadap jenayah rentas sempadan.

China telah mempergiatkan kerjasama dengan Myanmar, Thailand dan Kemboja dalam operasi bersama membanteras pusat penipuan yang beroperasi di rantau Asia Tenggara.

Sehingga Julai lalu, lebih 2,000 pusat penipuan telah ditumpaskan dan lebih 80,000 suspek ditahan dalam kempen bersepadu oleh pihak berkuasa China.







#China #Myanmar #ahli keluarga Ming #dalang utama operasi pusat penipuan #Aktiviti jenayah rentas sempadan