INTERNATIONAL
Singapore Airlines catat keuntungan tahunan tertinggi sebanyak RM9.2 bilion
Singapore Airlines melaporkan keuntungan bersih tahunan tertinggi dalam sejarah syarikat itu, berjumlah S$2.78 bilion (kira-kira RM9.2 bilion) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025. - Gambar fail Reuters
SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) melaporkan keuntungan bersih tahunan tertinggi dalam sejarah syarikat itu, berjumlah S$2.78 bilion (kira-kira RM9.2 bilion) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025.
Peningkatan itu disumbangkan oleh keuntungan sekali sahaja hasil daripada penggabungan antara syarikat penerbangan milik 49 peratusnya, Vistara, dengan Air India yang disempurnakan pada November lalu.
Penggabungan itu menyumbang kira-kira S$1.1 bilion kepada keuntungan kumpulan.
Bagaimanapun, keuntungan operasi SIA merosot sebanyak 37 peratus kepada S$1.71 bilion, berbanding tahun sebelumnya.
Ini berikutan persaingan sengit dalam industri yang menyebabkan tambang penumpang merosot sebanyak 5.5 peratus, meskipun permintaan kekal kukuh.
Dalam maklum balas kepada CNA, SIA mengesahkan para pekerjanya akan menerima bonus perkongsian keuntungan sebagai pengiktirafan terhadap "dedikasi dan usaha gigih" mereka sepanjang tahun kewangan tersebut.
Namun, tiada butiran lanjut seperti jumlah bonus yang didedahkan.
Pada tahun sebelumnya, SIA telah memberikan bonus sebanyak 7.94 bulan gaji - yang tertinggi dalam sejarah syarikat itu.
Walaupun syarikat membawa jumlah penumpang tahunan tertinggi pernah direkodkan, margin keuntungan terus tertekan susulan peningkatan kos bahan api dan perbelanjaan operasi, selain persaingan harga yang meningkat apabila kapasiti penerbangan global bertambah.
SIA turut memberi amaran bahawa tarif perdagangan yang diketuai Amerika Syarikat dijangka menjejaskan keyakinan pengguna dan perniagaan, serta memberi kesan kepada pasaran penumpang dan kargo.
Pendapatan kargo tahunan meningkat 4.4 peratus, didorong oleh permintaan kukuh dalam sektor e-dagang dan barangan mudah rosak, selain gangguan penghantaran melalui Laut Merah.
Namun, hasil kargo menurun 7.8 peratus akibat persaingan yang tinggi.
Beberapa syarikat penerbangan lain termasuk American Airlines dan Delta, turut menarik semula unjuran prestasi mereka, manakala Cathay Pacific memberi amaran permintaan kargo udara antara China dan AS mungkin menyusut.
SIA mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 30 sen Singapura sesaham, lebih rendah berbanding 38 sen yang diumumkan tahun sebelumnya.
Melalui penggabungan dengan Air India, SIA kini memiliki 25.1 peratus kepentingan dalam syarikat itu, sekali gus membolehkan syarikat tersebut menyertai secara langsung pasaran penerbangan India yang pesat berkembang.
Mengenai prospek industri, SIA menjangkakan persekitaran operasi kekal mencabar berikutan dasar tarif yang berubah-ubah, ketegangan perdagangan, ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan.
Namun, kumpulan menyatakan, rangkaian penumpang dan kargo globalnya yang pelbagai memberi kelebihan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran dan merebut peluang baharu.
“Walaupun ketidaktentuan global berterusan, Kumpulan berada dalam kedudukan kukuh untuk memberi tumpuan kepada keuntungan, meneroka peluang pertumbuhan dan memastikan penciptaan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham,” kata SIA. - CNA