DUNIA

Singapura akan adakan latihan Simulasi Penipuan Kebangsaan mulai 1 Mac

Bernama 01/02/2026 | 20:00 MYT
NSSE merupakan sebahagian daripada Latihan SG Ready 2026, yang menekankan usaha pendidikan awam kerajaan bagi memerangi penipuan. - Gambar hiasan/Pixabay
SINGAPURA: Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) akan melancarkan sesi perintis Latihan Simulasi Penipuan Kebangsaan (NSSE), dengan sokongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, mulai 1 Mac hingga 31 Ogos.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, agensi itu berkata, NSSE merupakan sebahagian daripada Latihan SG Ready 2026, yang menekankan usaha pendidikan awam kerajaan bagi memerangi penipuan.

"NSSE akan memfokuskan kepada penipuan menyamar sebagai pegawai kerajaan (GOIS), satu jenis penipuan utama yang menjadi kebimbangan. Latihan ini menyokong pertahanan menyeluruh dengan memperkukuh pertahanan digital dan ketahanan masyarakat secara kolektif terhadap penipuan yang sentiasa berkembang," menurut kenyataan itu.

Pendaftaran NSSE dibuka pada Ahad dan agensi itu amat menggalakkan orang ramai untuk menyertai latihan berkenaan.

Para peserta akan menerima panggilan telefon automatik atau "robocall" pada bila-bila masa sepanjang tempoh enam bulan latihan, meniru taktik biasa GOIS, menurut agensi itu.

"Pada akhir latihan, peserta akan mempelajari langkah-langkah yang boleh diambil apabila menghadapi taktik GOIS dalam kehidupan sebenar," tambah kenyataan itu.

-- BERNAMA



#Singapura #simulasi penipuan kebangsaan #NSSE #pendidikan #Kesedaran