DUNIA
Singapura arah Meta tangani penipu menyamar sebagai pemegang jawatan kerajaan menjelang 30 Sept

Menurut MHA, meskipun Meta telah mengambil langkah untuk menangani risiko penipuan penyamaran di peringkat global, pihaknya tetap bimbang dengan berleluasanya penipuan seumpama itu di Singapura. - Gambar hiasan/AP
SINGAPURA: Polis Singapura mengeluarkan Arahan Pelaksanaan (ID) kepada Meta pada Rabu, yang mengarahkan syarikat itu melaksanakan langkah-langkah untuk mengekang kegiatan penipu yang menyamar sebagai pemegang jawatan kerajaan utama di Facebook menjelang 30 Sept.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata kegagalan mematuhi arahan itu tanpa alasan munasabah boleh menyebabkan Meta didenda sehingga S$1 juta (AS$777,042) jika disabitkan kesalahan, dan bagi kesalahan yang berterusan, denda tambahan sehingga S$100,000 (AS$77,704) bagi setiap hari atau sebahagian hari semasa kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
"Meta, sebagai syarikat induk Facebook, dikehendaki melaksanakan langkah pengecaman wajah yang dipertingkatkan di Singapura dan memberi keutamaan kepada semakan laporan pengguna dari Singapura, bagi mengurangkan iklan, akaun, profil dan/atau halaman perniagaan palsu yang menyamar sebagai pemegang jawatan kerajaan utama di Singapura," menurut kenyataan MHA pada Khamis.
MHA berkata Facebook merupakan platform utama yang digunakan penipu untuk melakukan penipuan penyamaran sedemikian.MHA dan Pasukan Polis Singapura (SPF) melihat peningkatan penggunaan Facebook oleh penipu untuk melaksanakan penipuan penyamaran menggunakan video atau imej pemegang jawatan kerajaan dalam iklan, akaun, profil dan halaman perniagaan palsu antara Jun 2024 hingga Jun 2025.
Dalam tempoh itu, SPF berjaya menggagalkan kira-kira 2,000 iklan serta identiti palsu di platform berkenaan.
MHA menyatakan bahawa meskipun Meta telah mengambil langkah untuk menangani risiko penipuan penyamaran di peringkat global termasuk di Singapura, pihak kementerian dan SPF tetap bimbang dengan berleluasanya penipuan seumpama itu di negara berkenaan.
"SPF oleh itu telah mengeluarkan ID ini kepada Meta bagi menekankan betapa seriusnya perkara ini kepada kerajaan. Ini merupakan ID pertama yang dikeluarkan di bawah OCHA (Akta Bahaya Jenayah dalam Talian) ," menurut kenyataan itu.
MHA dan SPF juga sedang menimbangkan untuk mengenakan syarat serupa ke atas platform dalam talian lain. Perincian lanjut akan diumumkan kelak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami