DUNIA

Singapura bakal laksana hukuman sebat terhadap penipu di bawah undang-undang baharu

Bernama 04/11/2025 | 21:50 MYT
Hukuman maksimum ditetapkan sebanyak 24 sebatan bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan. - Gambar hiasan
ISTANBUL: Singapura akan melaksanakan hukuman sebat mandatori terhadap pesalah penipuan di bawah undang-undang jenayah baharu yang diluluskan pada Selasa, selepas negara itu mengalami kerugian hampir S$4 bilion (RM12.8 bilion) akibat penipuan sejak enam tahun lepas, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • Singapura akan melaksanakan hukuman sebat mandatori terhadap pesalah penipuan selepas mengalami kerugian hampir S$4 bilion akibat penipuan sejak enam tahun lepas.
  • Individu yang disabitkan kesalahan penipuan akan berdepan sekurang-kurangnya enam sebatan, denda, dan hukuman penjara, dengan hukuman maksimum sebanyak 24 sebatan berdasarkan keseriusan kesalahan.
  • Pindaan undang-undang baharu di Singapura turut memperkenalkan hukuman lebih berat bagi kesalahan seksual, penderaan membawa maut, doxxing, pengedaran bahan lucah, dengan hukuman maksimum ditingkatkan bagi kes tertentu.


Menurut akhbar harian The Straits Times, individu yang disabitkan kesalahan menjalankan atau membantu sindiket penipuan akan berdepan sekurang-kurangnya enam sebatan, selain denda dan hukuman penjara.

Hukuman maksimum ditetapkan sebanyak 24 sebatan bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan.

Di bawah undang-undang baharu itu, ahli sindiket, perekrut dan rakan sekutu termasuk "keldai akaun" yang menyediakan akaun bank, kad SIM atau identiti digital turut akan dipertanggungjawabkan.

Sejak 2019, Singapura telah menanggung kerugian melebihi S$3.4 bilion (RM10.9 bilion) akibat kegiatan penipuan, termasuk rekod tertinggi S$1.1 bilion (RM3.5 bilion) pada tahun 2024 sahaja.

Pindaan lain dalam rang undang-undang itu turut memperkenalkan hukuman lebih berat bagi kesalahan seksual, penderaan membawa maut terhadap mangsa berisiko, pendedahan maklumat peribadi penjawat awam (doxxing), serta pengedaran bahan lucah.

Mereka yang mengedarkan kandungan lucah kepada 10 orang atau lebih boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau maksimum empat tahun jika pesalah berumur bawah 18 tahun.

Bagi pengantunan seksual, hukuman penjara maksimum ditingkatkan kepada tujuh tahun bagi mangsa bawah umur 14 tahun dan lima tahun bagi mangsa berumur antara 14 hingga 17 tahun.

Bidang kuasa undang-undang Singapura juga akan diperluas meliputi kes di mana pelaku atau mangsa berada di luar negara.

Hukuman penjara maksimum bagi pesalah yang menyebabkan kematian terhadap mangsa berisiko turut dinaikkan daripada 20 tahun kepada 30 tahun atau penjara seumur hidup.

-- BERNAMA





#hukuman sebat #pesalah penipuan #undang-undang baharu #penjara