Skip to main content

Dunia

Singapura catat penurunan kerugian berkaitan penipuan pada 2025

71765333596_SCAM.jpg
Terdapat penurunan ketara dalam jumlah kes yang dilaporkan bagi penipuan e-dagang, penipuan pekerjaan dan penipuan panggilan rakan palsu. - Gambar hiasan

SINGAPURA: Kerugian berkaitan penipuan di Singapura menurun 19 peratus tahun ke tahun kepada S$913.1 juta (S$1=RM3.07) pada 2025 berbanding S$1.11 bilion sebelumnya, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Rabu.

Dalam taklimat tahunan mengenai penipuan dan jenayah siber, SPF memaklumkan bahawa jumlah kes penipuan dan jenayah siber turut berkurangan 24.8 peratus kepada 41,974 kes pada 2025 daripada 55,810 kes pada 2024.

Advertisement

Kes penipuan merangkumi 88.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, bersamaan 37,308 kes pada 2025, susut 27.6 peratus berbanding 51,501 kes pada tahun sebelumnya.

"Terdapat penurunan ketara dalam jumlah kes yang dilaporkan bagi penipuan e-dagang, penipuan pekerjaan dan penipuan panggilan rakan palsu.

Terdapat juga penurunan ketara dalam jumlah kerugian bagi penipuan menggunakan perisian hasad, penipuan kompromi e-mel perniagaan, penipuan pekerjaan dan penipuan panggilan rakan palsu," menurut kenyataan itu.

Pada 2025, SPF memaklumkan Anti-Scam Command (ASCom) berjaya mendapatkan semula kira-kira S$140.5 juta daripada kerugian, termasuk lebih S$117.7 juta dalam mata wang fiat dan lebih S$22.8 juta dalam mata wang kripto.

Selain itu, ASCom bersama rakan kerjasamanya membantu mangsa mengelakkan sekurang-kurangnya S$348 juta potensi kerugian, termasuk lebih S$339.7 juta dalam mata wang fiat dan lebih S$8.8 juta dalam mata wang kripto.

Menurut SPF, lima jenis penipuan tertinggi dari segi jumlah kes pada 2025 ialah penipuan e-dagang, penipuan pancingan data, penipuan pekerjaan, penipuan pelaburan dan penipuan penyamaran sebagai pegawai kerajaan.

Sementara itu, lima jenis penipuan tertinggi dari segi jumlah kerugian ialah penipuan pelaburan, penipuan penyamaran pegawai sebagai kerajaan, penipuan pekerjaan, penipuan pancingan data dan penipuan kompromi e-mel perniagaan.

"Pada 2025, sebanyak 85.2 peratus mangsa penipuan terdiri daripada golongan belia dan individu berusia bawah 65 tahun," katanya.

--BERNAMA

Must Watch Video