[TERKINI] Peguam Negara Arah Kubur Zara Qairina Digali Semula – Ikuti Perkembangan Di Sini
DUNIA

Singapura, China, Malaysia dominasi pelaburan asing di Indonesia

Bernama 08/08/2025 | 08:50 MYT
Lima sektor utama yang menarik pelaburan asing ialah industri logam asas, pengangkutan dan telekomunikasi, perlombongan, perkhidmatan serta sektor perumahan dan kawasan perindustrian. - Gambar/ Reuters
JAKARTA: Ketua Pejabat Komunikasi Presiden (PCO) Indonesia, Hasan Nasbi menyenaraikan Singapura dan Malaysia antara lima negara utama dengan pelaburan terbesar di Indonesia setakat Ogos 2025.


Ringkasan AI
  • Singapura dan Malaysia tersenarai antara lima negara utama pelabur terbesar di Indonesia, dengan pelaburan masing-masing sebanyak US$8.8 bilion dan US$1.7 bilion, menunjukkan keyakinan terhadap ekonomi di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.
  • Lima sektor utama yang menarik pelaburan asing ialah industri logam asas, pengangkutan dan telekomunikasi, perlombongan, perkhidmatan serta sektor perumahan dan kawasan perindustrian.
  • Jumlah pelaburan yang telah direalisasikan mencecah Rp942.9 trilion, hampir 50 peratus daripada sasaran tahunan Rp1,900 trilion, menjadikan Indonesia kekal sebagai destinasi utama pelaburan global.


Dalam sidang media di pejabat PCO di Jakarta pada Khamis, beliau berkata data itu menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap prospek ekonomi negara di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.

"Daripada lima negara yang paling banyak melabur di Indonesia, Singapura merupakan pelabur terbesar dengan nilai pelaburan US$8.8 bilion," katanya seperti dipetik agensi berita ANTARA.

Di Indonesia, pelaburan dari Hong Kong dan China berjumlah lebih US$8 bilion, manakala pelaburan Malaysia sebanyak US$1.7 bilion dan Jepun US$1.6 bilion.

Lima sektor utama yang menarik pelaburan asing ialah industri logam asas, pengangkutan dan telekomunikasi, perlombongan, perkhidmatan serta sektor perumahan dan kawasan perindustrian.

"Pelaburan ini telah direalisasikan. Ini bermaksud mereka benar-benar melabur di sini, bukan sekadar komitmen atau janji," katanya.

Jumlah keseluruhan nilai pelaburan yang direalisasikan setakat Ogos 2025 direkodkan pada Rp942.9 trilion, iaitu hampir 50 peratus daripada sasaran tahunan Rp1,900 trilion.

Beliau berkata pencapaian itu menjadi isyarat kukuh bahawa Indonesia kekal sebagai destinasi utama pelaburan global.

-- BERNAMA





#Indonesia #Malaysia #nilai pelaburan #China