SINGAPURA: Singapura berikrar akan menggunakan semua langkah undang-undang dan kawal selia yang ada terhadap syarikat yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan jerebu yang menyelubungi beberapa negara Asia Tenggara, termasuk memperkenalkan undang-undang baharu jika perlu.
Menteri Kanan K Shanmugam memberi amaran bahawa langkah itu boleh menjejaskan keuntungan, akses kepada pembiayaan dan kedudukan syarikat berkenaan di mata pelabur, tidak kira sama ada mereka beroperasi di Singapura atau tidak.
"Jika perlu, kami akan meminda perundangan sedia ada atau memperkenalkan undang-undang baharu dengan segera bagi memastikan kerjasama dapat diteruskan.
Syarikat tidak boleh mendakwa mereka bertanggungjawab terhadap alam sekitar manakala pada masa sama enggan diperiksa," katanya kepada media Singapura berikutan lawatannya ke Pusat Pemeriksaan Woodlands pada Isnin.
Shanmugam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, berkata beberapa syarikat Indonesia yang dikeluarkan notis langkah pencegahan oleh Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) dilihat mempunyai kaitan dengan syarikat yang berpangkalan di Singapura.
"Kami sedang meneliti kaitan berkenaan. Sebagai contoh, siasatan menunjukkan bahawa Asia Pulp and Paper (APP) membeli daripada tiga syarikat yang menerima notis daripada NEA.
Beberapa kawasan panas kebakaran atau punca asap dilihat mempunyai kaitan dengan First Resources dan Bumitama Agri yang tersenarai di Singapura, serta First Borneo Plantations. Kami akan meminta penjelasan lanjut daripada syarikat-syarikat ini," katanya.
Beliau berkata Bursa Singapura (SGX) turut meminta penjelasan daripada tujuh syarikat pertanian yang tersenarai di Singapura berhubung operasi serta kemungkinan kaitan mereka dengan masalah jerebu. Syarikat berkenaan ialah Golden-Agri Resources, Bumitama Agri, First Resources, Wilmar, Kencana Agri, Indofood Agri dan TSH Resources.
Sementara itu, Shanmugam menyampaikan penghargaan Singapura kepada Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan pentadbirannya atas usaha mereka menangani kebakaran hutan serta jerebu yang sedang berlaku.
Beliau berkata Prabowo secara peribadi komited untuk melarang amalan tebas dan bakar di tanah gambut serta meletakkan pencegahan kebakaran sebagai keutamaan sebagai penyelesaian jangka panjang.
Shanmugam berkata sebahagian daripada langkah yang diambil belum pernah dilakukan sebelum ini dan mencerminkan komitmen Kerajaan Indonesia dalam menangani situasi berkenaan.
“Kami turut menyambut baik kelulusan Presiden Prabowo berhubung bantuan luar bagi menangani kebakaran.
Kami, Singapura, telah menawarkan bantuan dan kami akan memainkan peranan kami untuk menyokong usaha ini," katanya.
-- BERNAMA