DUNIA

Singapura kenakan sekatan ke atas empat ekstremis Israel

Bernama 21/11/2025 | 07:07 MYT
Dalam kenyataan pada Jumaat, Kementerian Luar Singapura mendedahkan individu berkenaan terlibat dalam perbuatan ekstremis yang keterlaluan. - Foto Kementerian Luar Singapura
SINGAPURA: Singapura akan mengenakan sekatan kewangan bersasar serta larangan kemasukan terhadap empat individu Israel yang terbabit dalam tindakan keganasan terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat, berkuat kuasa serta-merta.


Ringkasan AI
  • Singapura mengenakan sekatan kewangan serta larangan kemasukan terhadap empat individu Israel yang terlibat dalam tindakan keganasan di Tebing Barat terhadap penduduk Palestin.
  • Kementerian Luar Singapura menyatakan individu Meir Mordechai Ettinger, Elisha Yered, Ben-Zion Gopstein, dan Baruch Marzel terlibat dalam perbuatan ekstremis yang melanggar undang-undang serta menggugat penyelesaian dua negara.
  • Singapura menegaskan bahawa penempatan Israel di Tebing Barat adalah tidak sah dan menentang sebarang tindakan unilateral yang melanggar undang-undang antarabangsa, sambil mendesak Israel untuk menghentikan keganasan dan membawa pelaku ke muka pengadilan.


Dalam kenyataan pada Jumaat, Kementerian Luar negara itu mendedahkan individu berkenaan — Meir Mordechai Ettinger, Elisha Yered, Ben-Zion Gopstein dan Baruch Marzel — terlibat dalam perbuatan ekstremis yang keterlaluan.

“Tindakan sedemikian adalah menyalahi undang-undang serta menjejaskan dan menggugat prospek penyelesaian dua negara,” menurut kenyataan itu.

Singapura turut mengulangi pendiriannya bahawa penempatan Israel di Tebing Barat adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.

“Kehadiran dan peluasan penempatan akan menjadikan usaha mencapai penyelesaian dua negara jauh lebih sukar,” katanya.

Sebagai penyokong teguh undang-undang antarabangsa dan penyelesaian dua negara, Singapura menentang sebarang tindakan unilateral untuk mengubah fakta di lapangan melalui perbuatan yang menyalahi undang-undang antarabangsa, menurut kementerian itu.

Singapura juga menggesa kerajaan Israel mengekang tindakan keganasan pendatang serta memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.

-- BERNAMA

#Israel #Singapura #Tebing Barat #Palestin #pelampau Yahudi