SINGAPURA: Negara Singapura mungkin masih muda, namun telah menempuh pelbagai cabaran, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam Perutusan Hari Kebangsaan 2023 republik itu.

Dan setiap kali (menempuh cabaran) semangat Singapura terus bersinar dan "muncul lebih kuat dan lebih bersatu," menurut Lee.

Singapura menyambut Hari Kebangsaan ke-58 pada Rabu (9 Ogos).

Perdana menteri menyatakan keyakinannya bahawa semangat itu akan terus menyatukan mereka, walaupun berhadapan tempoh yang sukar.

Lee berkata inflasi masih merupakan masalah bagi Singapura, seperti kebanyakan negara lain yang mempunyai isi rumah dan perniagaan yang merasai tekanan akibat kenaikan harga.

"Tekanan itu mungkin berpanjangan. Tetapi selama mana pun ia berlaku, anda tahu kerajaan ini akan mengharunginya bersama anda," kata Lee kepada warga Singapura.

Lee turut menyentuh siri kes yang melibatkan Menteri dan Ahli Parlimen baru-baru ini.

Dalam kesemua kes, Lee berkata untuk kebaikan negara, "kami mengambil tindakan yang betul dalam melindungi integriti sistem kerajaan."

"Jangan ragu, kerajaan saya bertekad untuk memastikan sistem kita bebas daripada rasuah dan salah laku.

"Kami akan mengekalkan standard tinggi kejujuran, integriti dan kewajaran. Rakyat Singapura telah menjangkakannya, begitu juga dengan rakan kongsi antarabangsa kami," kata Lee.

Menurut Lee, ada yang bertanya sama ada insiden itu mencerminkan kerajaan.

"Jawapan saya ialah: isu sebegini timbul dari semasa ke semasa. Apabila ia berlaku, kami mengurusnya dengan baik, betul dan telus. Itulah yang selalu kami lakukan; dan itulah juga tindakan kami kali ini."

Ucapan Lee itu disiarkan secara langsung dari SkyOasis@Dawson, di Queenstown, satu daripada bandar tertua di Singapura.

-- BERNAMA