DUNIA

Singapura naikkan kadar VEP dan GVP bagi kenderaan berdaftar asing mulai 1 Jan 2027

Bernama 06/02/2026 | 14:45 MYT
Kadar VEP baharu itu lebih tinggi berbanding kadar semasa iaitu S$35 sehari bagi kereta dan S$4 sehari bagi motosikal. - Gambar fail/Bernama
SINGAPURA: Kadar bayaran Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi kereta dan motosikal berdaftar asing yang memasuki Singapura akan dinaikkan masing-masing kepada S$50 sehari dan S$7 sehari mulai 1 Jan 2027, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).


Ringkasan AI
  • Kadar bayaran VEP bagi kereta dan motosikal berdaftar asing yang memasuki Singapura akan dinaikkan kepada S$50 dan S$7 sehari bermula 1 Jan 2027, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
  • Pengecualian tahunan 10 hari VEP percuma serta tempoh VEP percuma pada hari bekerja akan dimansuhkan, kata LTA.
  • Pemandu asing boleh memasang unit OBU ERP2 pada kenderaan berdaftar asing mereka mulai 1 April 2026, tetapi teksi Malaysia diwajibkan memasang OBU bagi tujuan pengesanan dan penguatkuasaan di Singapura.


Kadar VEP baharu itu lebih tinggi berbanding kadar semasa iaitu S$35 sehari bagi kereta dan S$4 sehari bagi motosikal.

"Bayaran VEP kini akan dikenakan pada semua hari, kecuali hujung minggu dan Cuti Umum Singapura. Pengecualian tahunan 10 hari VEP percuma serta tempoh VEP percuma pada hari bekerja akan dimansuhkan," kata LTA dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, LTA mengumumkan bahawa kadar Permit Kenderaan Barangan (GVP) bagi kenderaan barangan berdaftar asing akan meningkat daripada S$40 kepada S$70 bagi setiap bulan kalendar.

"Pemilik kenderaan barangan berdaftar asing masih boleh membeli GVP pada kadar semasa S$40 sebelum kadar yang disemak semula berkuat kuasa.

"Bagaimanapun, GVP dengan tempoh sah bermula dari tarikh kuat kuasa kadar baharu akan dikenakan bayaran S$70 bagi setiap bulan kalendar," tambahnya.

Sementara itu, LTA memaklumkan bahawa sebagai persediaan bagi penggunaan sistem Penentuan Harga Jalan Elektronik (ERP) 2 untuk caj jalan raya mulai 1 Jan 2027, pemandu asing boleh memasang unit dalam kenderaan (OBU) ERP2 baharu pada kenderaan berdaftar asing mereka mulai 1 April 2026.

Katanya, OBU tidak diwajibkan bagi kenderaan berdaftar asing.

Bagaimanapun, teksi Malaysia diwajibkan memasang OBU bagi tujuan pengesanan dan penguatkuasaan di Singapura.

"Kenderaan berdaftar asing yang memasuki Singapura tanpa OBU perlu membayar caj ERP kadar rata.

"Bagi yang tidak memasang OBU, pemandu boleh membayar caj ERP kadar rata (S$3 bagi motosikal; S$10 bagi semua kenderaan lain) bagi setiap hari operasi ERP yang kenderaan itu menggunakan jalan raya Singapura," katanya.

Agensi itu turut menekankan bahawa bagi menggalakkan lebih banyak kenderaan berdaftar asing memasang OBU sebelum pelaksanaan sistem ERP2, kos OBU bagi pemandu asing akan kekal pada kadar semasa S$158.70 (termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan sembilan peratus) sehingga 31 Dis 2026.

Menurutnya, OBU hanya boleh dipasang di Singapura oleh bengkel dan juruteknik yang diberi kuasa. Pemandu yang berminat boleh menghubungi bengkel OBU yang diberi kuasa untuk maklumat lanjut mengenai bayaran pemasangan.

"LTA akan mengumumkan butiran mengenai pemasangan OBU bagi pemandu asing pada masa yang sesuai," tambahnya.

-- BERNAMA



#motosikal #pemandu asing #kadar semasa #permit masuk kenderaan