Skip to main content

Dunia

Singapura pantau peningkatan mendadak COVID-19 dengan 12,700 kes baharu dilaporkan

41724425922_TBsingapore.jpg
Purata kemasukan harian ke hospital akibat COVID-19 di Singapura turut meningkat daripada 56 kepada 73 kes, dengan satu kes harian dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). - Gambar hiasan/Arkib

SINGAPURA: Singapura merekodkan peningkatan jangkitan COVID-19 dengan 12,700 kes dilaporkan bagi minggu 10 hingga 16 Mei, berbanding 8,000 kes pada minggu sebelumnya, menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA).

Dalam satu kenyataan, CDA memaklumkan pihaknya sedang memantau peningkatan kes itu ketika purata kemasukan harian ke hospital akibat COVID-19 turut meningkat daripada 56 kepada 73 kes, dengan satu kes harian dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Peningkatan kes mungkin disebabkan beberapa faktor, termasuk penurunan imuniti dalam kalangan penduduk.

“Varian NB.1.8.1 (keturunan daripada varian JN.1) merupakan varian utama COVID-19 yang sedang menular di Singapura, merangkumi lebih separuh daripada kes tempatan yang menjalani penjujukan,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Menurut CDA, hospital awam akut mampu mengurus peningkatan kes berkenaan memandangkan vaksin COVID-19 semasa masih berkesan dalam memberi perlindungan terhadap varian semasa.

Agensi itu menegaskan bahawa gelombang COVID-19 berkala dijangka berlaku sepanjang tahun, sama seperti penyakit pernafasan endemik lain.

“Tiada petunjuk bahawa varian yang sedang menular di peringkat tempatan lebih mudah berjangkit atau menyebabkan penyakit lebih serius berbanding varian yang pernah menular sebelum ini,” tambahnya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement