Ekoran nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, Lembaga Penerbangan Awam Singapura (CAAS) kini mempertimbang langkah-langkah untuk mempertingkat perkongsian maklumat keselamatan dan sekuriti dalam kalangan pihak berkuasa dan syarikat penerbangan kebangsaan.

Menteri Pengangkutan Lui Tuck Yew berkata syarikat-syarikat penerbangan itu kemudian boleh merancang laluan penerbangan dan menilai risiko yang terbabit dengan lebih aktif.

Dalam jawapan lisan kepada soalan di parlimen mengenai perancangan penerbangan, Lui berkata:

"Penerbangan awam antarabangsa memerlukan sebuah pesawat yang boleh merentasi pelbagai negara, tetapi tidak ada satu pihak berkuasa pun yang dapat menyediakan semua maklumat mengenai keadaan di luar bidang kuasanya."

Beliau berkata, negara-negara perlu bergantung antara satu sama lain dan perlu bekerjasama demi menentukan keselamatan penerbangan awam yang berkekalan.

Sejak nahas MH17, banyak pihak mengambil berat terhadap keselamatan penerbangan yang melalui ruang angkasa kawasan konflik.

Lui berkata masyarakat antarabangsa, dipimpin Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), sedang mengkaji semula isu-isu dan respons berpotensi yang perlu diikuti berhubung pesawat awam yang beroperasi ke, dari dan di ruang udara kawasan konflik.

"Kita akan mengambil bahagian secara aktif dalam usaha ini untuk menentukan perjalanan udara lebih selamat dan terjamin," kata beliau.

Tambahan pula, CAAS, sebagai badan kawal selia, memerlukan syarikat penerbangan Singapura melaksanakan proses perancangan penerbangan yang cergas demi menjamin operasi penerbangan yang selamat, kata beliau.

Juga, berikutan insiden MH17, CAAS telah meminta syarikat penerbangan Singapura mengkaji semula penilaian operasi penerbangan di ruang udara kawasan konflik.

Lui mengambil perhatian bahawa insiden Penerbangan MH17 merupakan tragedi dahsyat.

"Ini tidak wajar berulang. Sebagai sebuah negara, kami berdiri teguh di samping jiran kita dan menzahirkan simpati mendalam terhadap keluarga mangsa," katanya.

Penerbangan MH17 terhempas di bahagian timur Ukraine pada 17 Julai ketika ia dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 283 penumpang dan 15 kru.

Boeing 777-200 itu dipercayai telah ditembak jatuh di ruang angkasa negara bergolak itu.