[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Singapura puji kepimpinan ASEAN Malaysia, sedia perkukuh hubungan dua hala

Bernama 12/09/2025 | 13:00 MYT
Balakrishnan (enam kiri) dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mustafar (tengah, bertengkolok) pada majlis sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia malam tadi. - Gambar Facebook Vivian Balakrishnan
SINGAPURA: Singapura menghargai kepimpinan teguh Malaysia dalam menerajui ASEAN tahun ini di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan terus memberi sokongan penuh terhadap kepengerusiannya, kata Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan.

Beliau berkata masih banyak ruang untuk Singapura dan Malaysia bekerjasama bagi meningkatkan hubungan dua hala, termasuk melalui komitmen bersama demi memastikan ASEAN kekal utuh, dinamik dan berpandangan jauh dalam persekitaran geopolitik yang semakin mencabar.

"Terdapat banyak contoh bagaimana kedua-dua pihak sedang berusaha bersungguh-sungguh demi manfaat bersama.

"Walaupun kita boleh berbangga dengan pelbagai pencapaian enam dekad lalu, masih banyak yang boleh dilakukan bersama untuk membawa hubungan ke tahap lebih tinggi," katanya pada majlis sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, malam Khamis.

Balakrishnan berkata hubungan erat antara Singapura dan Malaysia sejak sekian lama merangkumi pelbagai bidang termasuk interaksi tetap di semua peringkat bagi membina kepercayaan, bertukar idea dan mewujudkan penyelesaian bersama.

Dari segi ekonomi, katanya, kedua-dua negara jiran itu telah lama menjadi rakan dagang utama antara satu sama lain dan kini menggandakan usaha melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Beliau juga berkata sejak Perjanjian JS-SEZ dimeterai pada Januari lalu, ia telah menarik minat besar daripada komuniti perniagaan.

"Dengan memanfaatkan kekuatan pelengkap kedua-dua pihak, JS-SEZ akan membantu kedua-dua pihak mengharungi ketidaktentuan ekonomi global.

"JS-SEZ berpotensi menjadi pemangkin, bukan sahaja untuk syarikat multinasional tetapi juga perusahaan kecil dan sederhana tempatan," katanya.

Sementara itu, projek Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura yang dijadual mula beroperasi pada akhir 2026 akan mengurangkan masa perjalanan, meningkatkan kesalinghubungan fizikal dan membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam pelbagai bidang.

Balakrishnan berkata selain aspek itu, Singapura dan Malaysia turut bekerjasama rapat dalam "perisian" seperti pertukaran budaya dan pengukuhan hubungan rakyat dengan rakyat.

Ini termasuk pencalonan bersama untuk mendaftarkan perarakan Chingay dalam Senarai Perwakilan UNESCO bagi Warisan Budaya Tidak Ketara pada awal tahun ini, selain kejayaan pendaftaran kebaya pada 2024 bersama Indonesia, Brunei dan Thailand.

Beliau juga berkata Singapura akan menganjurkan Pameran Budaya Malaysia-Singapura (TCS) kali ketiga akhir tahun ini di Malaysia, iaitu platform penting bagi menonjolkan pertukaran silang budaya dalam komuniti seni, kreatif dan warisan kedua-dua negara.

Balakrishnan turut menyebut kerjasama antara Singapore International Foundation dan Yayasan Guru Tun Hussein Onn dalam melaksanakan Program Sukarelawan Bahasa Inggeris Malaysia-Singapura (MSEVP) yang julung kali diadakan.

"Sejak sebulan lalu, sukarelawan dari Singapura ditempatkan di tiga sekolah rendah di Selangor untuk bekerjasama dengan guru tempatan bagi memudah cara pengajaran bahasa Inggeris dan menggalakkan penggunaannya dalam kehidupan harian pelajar," katanya.

Menerusi MSEVP, sukarelawan Singapura akan membantu mengajar bahasa Inggeris di sekolah terpilih di beberapa negeri di Malaysia.

-- BERNAMA



#ASEAN #Hubungan dua hala #JS-SEZ #Unesco