SINGAPURA: Singapura akan menyertai Protokol Perjanjian Berkenaan Keberkecualian Kekal dan Operasi Terusan Panama, sekali gus menegaskan komitmennya terhadap keselamatan, perlindungan maritim serta kebebasan pelayaran, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Beliau berkata penyertaan itu mencerminkan sokongan Singapura terhadap kebebasan pelayaran menerusi satu daripada laluan maritim paling penting di dunia.
“Di tengah-tengah gangguan perdagangan dan lanskap global yang sukar diramal, negara-negara kecil perlu bekerjasama untuk memperkukuh institusi yang menegakkan undang-undang antarabangsa.
“Sememangnya Singapura dan Panama berkongsi kepentingan mendalam dalam menegakkan kebebasan pelayaran serta undang-undang antarabangsa, terutamanya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982,” katanya pada Isnin.
Tharman berkata demikian pada majlis jamuan negara bagi meraikan Presiden Panama José Raúl Mulino Quintero, yang mengadakan lawatan negara selama tiga hari dari 3 hingga 5 Okt. Teks ucapan beliau dikeluarkan menerusi laman sesawang Pejabat Presiden.
Beliau berkata Singapura dan Panama terletak di persimpangan strategik perdagangan global yang menghubungkan Asia dan Amerika, dengan Singapura menawarkan laluan masuk kepada syarikat-syarikat Panama ke pasaran Asia Tenggara.
“Syarikat-syarikat berkenaan pasti mendapati peluang di pasaran ASEAN yang secara kolektif berpotensi menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong berkata beliau dan Mulino berbincang mengenai perluasan kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan serta logistik.
“Panama merupakan negara pertama di Latin Amerika yang memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bersama Singapura.
“Banyak lagi yang boleh kita lakukan bersama, terutamanya dalam bidang logistik mengambil kira peranan kita sebagai hab utama udara dan maritim,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memulakan perundingan mengenai Perjanjian Bantuan Undang-Undang Bersama serta menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara SATS Ltd dan Lapangan Terbang Antarabangsa Tocumen bagi memperkukuh kerjasama dalam kesalinghubungan dan logistik kargo udara.
-- BERNAMA