DUNIA
Singapura setuju sampaikan pendirian India berhubung AITIGA kepada ASEAN - Pegawai India

Wong dan Modi berjabat tangan ketika mengadakan pertemuan di Hyderabad House, New Delhi, India, 4 Sept 2025. REUTERS
NEW DELHI: Singapura bersetuju menyampaikan kebimbangan India mengenai Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) kepada negara Asia Tenggara yang lain.
New Delhi sedang mendesak supaya perjanjian 2009 itu disemak semula bagi menjadikannya lebih berkesan untuk perniagaan, menurut seorang pegawai Kementerian Hal Ehwal Luar India pada Khamis.
Setiausaha (Timur) di Kementerian Hal Ehwal Luar P. Kumaran, berkata Singapura bersetuju membantu menjelaskan pendirian India kepada rakan kongsi ASEAN yang lain mengenai keperluan untuk mencapai satu perjanjian yang disemak semula yang boleh menghasilkan situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak.
"Rungutan utama di pihak kami ialah defisit perdagangan telah meningkat sejak AITIGA ditandatangani, dan kita perlu menyesuaikan perjanjian ini sedemikian rupa supaya dapat mencapai situasi perdagangan yang lebih seimbang," katanya pada satu taklimat media.AITIGA turut dibincangkan dalam pertemuan antara Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri India Narendra Modi di New Delhi pada Khamis, hari terakhir lawatan tiga hari Wong.
"Kami telah memutuskan bahawa, bagi mempercepatkan lagi perdagangan dua hala, satu semakan berjadual akan dijalankan terhadap Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif serta Perjanjian Perdagangan Bebas dengan ASEAN," kata Modi dalam kenyataan medianya.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menerima pakai satu "pelan hala tuju yang berpandangan ke hadapan dan substantif" bagi mengukuhkan hubungan dua hala dalam bidang seperti ekonomi, pembangunan kemahiran, pendigitalan, penjagaan kesihatan dan pertahanan, menurut kenyataan bersama.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami