SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
DUNIA

Singapura tarik balik campuran salad Australia kerana bakteria

Bernama 22/08/2025 | 09:15 MYT
Pengguna yang telah membeli produk itu dinasihatkan supaya tidak memakannya. - Gambar/ Bernama/ SFA
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) telah menarik balik campuran salad yang diimport dari Australia selepas ujian mengesan tahap bakteria Bacillus cereus melebihi had yang dibenarkan, lapor Xinhua.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, agensi itu mengenal pasti produk berkenaan sebagai Coolibah Herbs Gourmet Salad Mix dan memaklumkan proses penarikan balik masih dijalankan. Pengguna yang telah membeli produk itu dinasihatkan supaya tidak memakannya.

Mereka yang sudah memakan campuran salad berkenaan dan bimbang mengenai kesihatan dinasihatkan mendapatkan nasihat perubatan, tambah SFA.

Bacillus cereus, sejenis bakteria yang lazim ditemui dalam persekitaran serta usus serangga dan mamalia, adalah penyebab biasa keracunan makanan. Antara gejala termasuk loya, muntah, sakit perut dan cirit-birit.

-- BERNAMA



#Singapura #salad Australia #tarik balik #Bakteria