SAYA ada pengakuan. Dan, ini pengakuan saya: Dalam seminggu, lazimnya saya akan membaca buku sehingga lima naskhah. Pada musim pandemik ini, jumlah naskhah bertambah, kalau dihitung yang dimuat naik secara elektronik atau e-book. Saya membaca apa sahaja genre buku; daripada ilham kisah benar,fiksyen, bukan fiksyen, biografi sehingga novel asyik-masyuk sesuai untuk golongan muda-mudi.
Ada buku yang saya baca, tetapi belum habiskannya, saya simpan untuk tujuan bacaan kemudiannya. Namun, ada juga buku-buku yang saya baca secara berulang-ulang - adakalanya antara dua hingga tiga kali dalam tempoh setahun, sebagai contoh Dream of My Father tulisan bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama atau The Lady and the Peacock: The Life of Aung San Suu Kyi, ditulis Peter Popham, Salina, Langit Petang dan Hujan Pagi atau apa-apa naskhah buah tangan A. Samad Said.
Saya juga baca berulang-ulang karya penulis warga Afghanistan, Khaled Hosseini. Saya akui, sebagai peminat buku, tiga novelnya ditulis dengan baik dalam bahasa Inggeris; The Kite Runner (2006); A Thousand Splendid Suns (2008) dan And The Mountains Echoed (2018).
Baru-baru ini, saya menonton filem yang diangkat daripada buku The Kite Runner, karya Khaled Hosseini itu. Filem pada 2012 yang mengekalkan judul buku ini diarahkan Marc Forster dengan lakon layar digarap David Benioff.
Walaupun banyak yang diubah di sana sini berbanding buku, saya menonton ulang filem ini di Netflix. Ia tetap menarik kerana diangkat daripada kisah benar tentang erti persahabatan, penipuan dan mimpi warga Afghanistan kesan daripada pemerintahan Taliban ketika itu.
Membaca semula buku mengenainya, hari ini, pada hari tentera Amerika Syarikat lengkap berundur dari bumi Afghanistan selepas menjarah negara Asia Selatan itu selama hampir dua dekad, saya banyak menggali pengajaran bahawa perang itu luka paling mendera berbanding hal-hal yang lain. Bahawa generasi yang ada di Afghanistan - selepas Amerika keluar daripada bumi mereka itu, akan hilang pandu arah, selebihnya mimpi tersangkut kekal jadi mimpi, jika pemulihan tidak dilakukan dengan segera, tanpa tertangguh-tangguh lagi.
Bumi Afghanistan secara dasarnya kosong hari ini daripada kehadiran tentera AS. Negara itu tidak pernah sembuh daripada luka perang. Sebelum ini, ia terdera kerana tinggalan Soviet Union. Kemudian, pasca 11 September 2001, Afghanistan jadi mangsa perang menentang keganasan, yang awalnya berlaku di Amerika Syarikat sehingga membunuh beribu-ribu nyawa warganya.
Individu dikatakan dalang serangan, Osama bin Laden, dicari sehingga lubang cacing dan akhirnya mati di tangan operasi yang dijalankan perisikan Washington. Atas nama perang menentang keganasan, Taliban diasak, dilumpuhkan sedaya mungkin menerusi kehadiran tentera AS ke negara itu dengan dibantu tentera negara sekutunya, tanpa terkecuali anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Dan, Amerika Syarikat serta sekutunya bukan sekejap atau singkat berada di Afghanistan pasca serangan 11 September 2001 itu. Tempohnya - hampir 20 tahun, dan jika usia itu adalah manusia, umur itu sudah boleh dilabel matang dan dibenarkan berkeluarga.
Dalam rentang masa hampir 20 tahun itu, bukan kecil kesan perang dan pendudukan Amerika Syarikat di Afghanistan. Kos yang ditanggung Amerika sepanjang misi itu mencecah AS$2.3 trilion. Bukan itu sahaja, kesan lebih mendukacitakan, nyawa lebih 100,000 orang awam, 72 wartawan dan lebih 2,400 tentera Amerika Syarikat, pasukan keselamatan dan tentera Afghanistan melayang sepanjang tempoh berada di situ.
Ironinya, begitu besar "perbelanjaan" dibiayai, bukan kecil nyawa jadi murahan dalam perang, akhirnya Taliban juga yang berjaya menguasai semula Afghanistan. Ia sama sekali tidak dijangkakan bahawa Amerika Syarikat boleh ditewaskan dengan mudah oleh Taliban pada 15 Ogos lepas apabila kumpulan itu - yang mahu dihalau kerana jadi asas untuk masuk ke Afghanistan, mentadbir semula.
"Soalnya bukan kalah atau menang Amerika Syarikat dalam politik pentadbiran Afghanistan. Soalnya, legasi yang ditinggalkan Washington kepada generasi selepas ini, apalagi selepas Taliban menguasai semula landskap negara,'' kata pakar Asia Selatan dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM), Dr Azharuddin Mohamed Dali semasa diminta menyatakan pandangannya tentang Afghanistan dan penglibatan Amerika Syarikat.
Dalam temu bual kemudiannya di program Awani Global, Dr Azharuddin berkata, Amerika Syarikat sepatutnya lebih bertanggungjawab tidak meninggalkan bumi Afghanistan dalam keadaan bumi itu dihimpit kemiskinan dan masih dibelenggu masalah keganasan, kesan perang terdahulu.
Siapa yang menang, siapa yang kalah di Afghanistan, saya bincangkan juga dengan seorang rakan pengajian PhD saya, Dr Tahir Ashraf, kini Penolong Profesor di University of Multan, Pakistan. Ada banyak yang kami bincangkan, semuanya di platform e-mel dan Whatsapp. Antara yang penting dalam perbualan itu, saya diajak beliau untuk mengimbau pengumuman pertama Presiden George W. Bush tentang penaklukan Afghanistan pada 7 Oktober 2001.
"Pada waktu itu, Presiden Amerika Syarikat berkata dengan tegas, iaitu, satu-satunya jalan untuk memastikan keamanan dicapai, kita cari siapa yang mengancam jalan perdamaian itu,'' kata beliau yang kemudiannya menambah, benar, Taliban, yang melindungi Al-Qaeda ketika itu dilumpuhkan dalam tempoh beberapa tahun sahaja.
Tetapi, kata Dr Tahir, Washington lupa, oleh kerana satu perang, perang yang lain menyusul kemudiannya. Nah, Taliban bangkit dan membuat persediaan menguasai semula Afghanistan, dan ia berjaya pada tahun ini, ketika tentera Amerika sibuk bersiap-sedia meninggalkan Afghanistan, selepas pelbagai siri serangan dan balas dendam kerana perang sebelumnya.
Dan, perang yang tidak berkesudahan itu, sehingga untuk tempoh hampir 20 tahun, dan mungkin berlanjutan lagi selepas ini, dibayar dengan harga yang tinggi untuk warga Afghanistan terus hidup, bangkit dan memecah cermin mimpi khususnya kalangan belia anak muda. Mereka ini memperjudikan masa demi masa depan lebih baik selepas ini, selepas tentera Amerika tidak lagi menguasai Afghanistan.
Saya jadi teringat dengan tulisan Khaled Hosseini dalam buku The Kite Runner di halaman 434 menerusi dialog Hasan dan rakannya Amir yang saya petik begini:
“There are a lot of children in Afghanistan, but little childhood.”
Sungguh, saya tiba-tiba jadi kasihan kepada jutaan kanak-kanak di Afghanistan. Mereka paling terdera kerana perang. Alam menjadi kanak-kanak tersekat oleh peraturan-peraturan dan perkembangan yang menyusul seiring perang silih berganti. Mereka tidak lagi dijajah Amerika, tetapi diikat undang-undang Taliban pula.
Dan, untuk berlaku jujur kepada Khaled Hosseini, ya, benar, itulah juga kebimbangan utama masyarakat dunia yang cintakan hak asasi, tentang kesan selepas AS meninggalkan bumi Afghanistan, hari ini, pada tarikh 31 Ogos 2021.
* Azlinariah Abdullah ialah pengkaji Sosiologi dan Budaya Institut Asia-Eropah (AEI), Universiti Malaya dan penulis buku Pengembara Tanpa Pasport
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Dr Azlinariah Abdullah
Tue Aug 31 2021
Tentera Amerika Syarikat lengkapkan misi di Afghanistan pada 31 Ogos 2021 tetapi masih berkawal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul dibimbangi berlaku sebarang ancaman serangan. - Gambar AP
Protes diteruskan hingga Suk Yeol dipecat
Para penunjuk perasaan kekal mengadakan protes di bandar Seoul agar Presiden Yoon Suk Yeol dipecat daripada jawatannya.
Cubaan serbu pejabat Presiden Yoon Suk Yeol gagal
Menurut media tempatan, pihak polis tidak dapat memasuki bangunan utama kerana gagal mencapai persetujuan dengan pihak perkhidmatan rahsia mengenai kaedah penggeledahan dan penyitaan.
Bekas Menteri Pertahanan Korea cuba bunuh diri
Menurut Ketua Pesuruhajaya Perkhidmatan Korea, Shin Yong Hae pada Rabu, Kim kini sedang menerima rawatan susulan dan berada dalam keadaan stabil.
Seorang menteri Afghanistan terbunuh dalam letupan
Seorang menteri utama dalam pentadbiran sementara Taliban Afghanistan terbunuh pada Rabu dalam letupan di ibu negara Kabul.
PBB akan undi gencatan senjata segera dilaksanakan
Resolusi itu juga menuntut pembebasan semua tebusan dan akses tanpa halangan untuk bantuan kemanusiaan kepada Gaza.
Fenomena La Nina berkembang lebih 50 peratus hingga Feb 2025
Kemungkinan lebih 50 peratus fenomena La Nina dilaporkan akan berkembang dalam tempoh tiga bulan mendatang.
127 terbunuh dalam dua hari di Sudan
Terbaharu pada Selasa, kumpulan hak asasi manusia, Emergency Lawyers memaklumkan sekurang-kurangnya 20 termasuk 14 orang yang menaiki bas terbunuh di Omdurman, Sudan.
Suspek bunuh CEO bakal mohon esktradisi
Menurut peguam Luigi Mangiyone, Thomas Dickey, pihaknya akan melakukan permohonan itu mengikut peraturan undang-undang perlembagaan.
[TERKINI] Harimau Malaya raih tiga mata berharga, tewaskan Timor Leste
Skuad Harimau Malaya mencatatkan kemenangan pertama kumpulan A dalam saingan Piala ASEAN 2024 selepas menewaskan Timor Leste 3-2.
Astro sambung hak eksklusif EPL hingga 2027/28
Selain siaran langsung, Astro turut akan menerbitkan kandungan istimewa seperti wawancara eksklusif dan siri "From KL to PL" yang akan ditayangkan pada Januari 2025.
Kyrgyzstan keluarkan Taliban daripada senarai organisasi pengganas
Kyrgyzstan mengeluarkan Taliban daripada senarai organisasi yang diharamkan, menurut Kementerian Luar Kyrgyz pada Jumaat, lapor Xinhua.
Afghanistan siap sedia sambut Aidiladha meski berdepan cabaran ekonomi
Kadar pengangguran dan kemiskinan yang tinggi mengurangkan kuasa beli rakyat Afghanistan secara drastik, menyukarkan mereka untuk melaksanakan ibadah korban.
Tehran dakwa penjajahan asing sebagai punca utama masalah Afghanistan
Punca masalah dan cabaran Afghanistan ialah pendudukan negara itu sebelum ini dan kurangnya perhatian terhadap pembangunan ekonominya oleh bekas penjajah.
Pilihan raya Pakistan: Perkhidmatan rangkaian mudah alih digantung, sempadan ditutup
Pihak berkuasa Pakistan menggantung perkhidmatan mudah alih dan menutup sempadan dengan negara jiran Afghanistan dan Iran selepas insiden pengeboman.
150,000 wanita dan sektor kesihatan, hak tidak diabaikan - Menteri Kesihatan Awam Afghanistan
Seramai 150,000 wanita berkhidmat dalam sektor kesihatan Afghanistan ketika ini dengan pelbagai cabang kepakaran.
Afghanistan ketika ini 100 peratus aman - Menteri Kesihatan Awam Afghanistan
Situasi di Afghanistan jauh lebih baik berbanding 20 tahun lalu yang menyaksikan ratusan orang maut akibat peperangan.
Afghanistan perlu raih semula penghormatan untuk membangun - Penganalisis
Afghanistan perlu memecahkan persepsi negatif terhadap negaranya dan meraih semula penghormatan komuniti antarabangsa untuk membangun.
Genosid di Gaza hancurkan 'kredibiliti' pertubuhan dunia - Afghanistan
Afghanistan mengutuk sekeras-kerasnya rejim Israel itu kerana meneruskan pengeboman yang membunuh ratusan rakyat Palestin sejak jeda kemanusiaan tamat pada Jumaat.
Gempa bumi landa barat laut Afghanistan, 100 cedera
Sekurang-kurangnya 100 orang cedera selepas satu lagi gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada skala Richter menggegarkan barat laut Afghanistan pada Ahad.
80 cedera dalam gempa bumi kuat di Afghanistan
Menurut penduduk tempatan, kebanyakan mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital.