[TERKINI] Amir Hamzah Jalankan Tugas Menteri Ekonomi Berkuat Kuasa Serta-Merta – RMK13 Jadi Tumpuan | Berita Lanjut di Sini
DUNIA

Sistem IT Hawaiian Airlines digodam

Agensi 27/06/2025 | 00:30 MYT
Hawaiian Airlines memaklumkan beberapa sistem teknologi maklumat (IT) syarikat itu telah digodam dalam satu insiden keselamatan siber, namun operasi penerbangan dilaporkan berjalan seperti biasa. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Hawaiian Airlines memaklumkan beberapa sistem teknologi maklumat (IT) syarikat itu telah digodam dalam satu insiden keselamatan siber, namun operasi penerbangan dilaporkan berjalan seperti biasa.
Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu mengesahkan bahawa "beberapa sistem IT kami telah terkesan akibat satu insiden keselamatan siber."
Bagaimanapun, butiran mengenai bentuk serangan tidak didedahkan.
Lazimnya, istilah sedemikian digunakan dalam kes serangan perisian tebusan (ransomware) di mana rangkaian komputer mangsa dilumpuhkan sehingga bayaran dalam bentuk mata wang kripto dibuat.
Hawaiian Airlines, yang dimiliki oleh Alaska Air Group, menegaskan bahawa langkah segera telah diambil bagi melindungi operasi syarikat.
“Penerbangan kami kekal selamat dan beroperasi seperti dijadualkan,” kata kenyataan itu.
Setakat ini, Reuters belum dapat mengesahkan sejauh mana gangguan yang berlaku.
Namun, wakil syarikat dilaporkan menggunakan alamat Gmail bagi memberi maklum balas apabila dihubungi untuk penjelasan lanjut.
Sementara itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat memaklumkan, pejabat keselamatan mereka yang bertanggungjawab terhadap pengawasan syarikat penerbangan sedang memantau keadaan tersebut.
“Tiada kesan terhadap aspek keselamatan, dan syarikat penerbangan terus beroperasi dengan selamat. Kami akan terus memantau situasi ini,” kata FAA dalam satu kenyataan. - Agensi
#Hawaiian Airlines #sistem IT Hawaiian Airlines #sistem IT digodam #Alaska Air Group