Skip to main content

Dunia

Situasi di Tebing Barat dianggap kecemasan, perlu tindakan segera - PBB

Israel re-establishes West Bank settlement after 20 years
Keganasan dan intimidasi oleh peneroka telah menyebabkan penduduk Palestin terpaksa meninggalkan tempat tinggal mereka. - Gambar/ Reuters
Advertisement

NEW YORK: Situasi di Tebing Barat mesti dianggap sebagai satu kecemasan yang memerlukan tindakan segera, kata wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa, lapor Xinhua.

"Kebimbangan bukan sahaja tertumpu pada pengembangan berterusan penempatan (Israel), malah terhadap kepantasan dan cara sistematik bagaimana realiti baharu di lapangan diwujudkan," tegas pegawai itu dalam satu taklimat kepada Majlis Keselamatan.

Ramiz Alakbarov, Timbalan Penyelaras Khas bagi Proses Damai Asia Barat, berkata pos penempatan baharu sering didirikan dengan sokongan pihak berkuasa dan boleh mendapat pengesahan secara retrospektif atau diserap ke dalam sistem penempatan yang lebih luas.

Beliau menambah keganasan dan intimidasi oleh peneroka daripada pos-pos berkenaan telah menyebabkan penduduk Palestin terpaksa meninggalkan tempat tinggal mereka.

Perluasan pos pertanian dan kawasan ragut ternakan juga amat membimbangkan. Walaupun hanya memerlukan sebilangan kecil peneroka, ia membolehkan penguasaan ke atas kawasan tanah yang luas.

Pertubuhan pemantau Israel melaporkan pos pertanian dan penternakan kini memegang kawalan yang efektif terhadap hampir 20 peratus wilayah Tebing Barat, katanya.

"Kita perlu melihat situasi sebenar dengan jelas. Ini ialah langkah-langkah yang saling berkait, bukan perkembangan yang terpencil. Ia sedang mengubah landskap Tebing Barat, melemahkan tadbir urus Palestin dan memajukan proses pengilhakan secara de facto," katanya.

“Taruhannya amat besar. Jika keadaan di Tebing Barat terus merosot, ia akan menjejaskan lagi prospek untuk menamatkan pendudukan Israel dan merealisasikan keamanan yang dicapai melalui rundingan antara Israel dan Palestin berdasarkan penyelesaian dua negara, tegas beliau.

"Kita mesti bertindak sekarang, secara kolektif dan dengan penuh tekad, bagi memastikan langkah-langkah konkrit diambil ke arah matlamat tersebut. PBB kekal komited untuk menyokong segala usaha ke arah keamanan berkekalan antara Israel dan Palestin berdasarkan garis sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara bagi kedua-dua pihak, yang hidup berjiran dalam keadaan aman dan selamat," katanya.

-- BERNAMA-XINHUA 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement