Situasi Sri Lanka masih rapuh - PBB

Bernama
September 13, 2022 03:50 MYT
Anggota polis Sri Lanka menahan seorang pemprotes ketika protes antikerajaan oleh Persekutuan Mahasiswa Antara Universiti di Colombo, Sri Lanka, 30 Ogos 2022. -REUTERS
NEW DELHI: Seorang pegawai kanan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan situasi semasa Sri Lanka sebagai masih "rapuh" dan menggesa kerajaan menggalakkan perdamaian nasional ketika negara itu cuba mengatasi krisis kewangannya.
Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Nada Al Nashif menyuarakan kebimbangan terhadap penahanan pemimpin dan individu yang menyertai protes menggulingkan pentadbiran terdahulu sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Pertukaran kerajaan Sri Lanka pada Julai telah dicapai dengan "cara yang disifatkan sebahagian besarnya aman dan berdasarkan Perlembagaan, tetapi situasi politik kekal rapuh dan keadaan ekonomi tidak stabil," katanya kepada Majlis Hak Asasi Manusia Sesi ke-51 di Geneva pada Isnin.
Kerajaan baharu Sri Lanka harus "merebut peluang yang ditawarkan bagi mengubah keadaan" dan menggalakkan perdamaian nasional, kata Nashif.
Beliau menegaskan bahawa sejak berakhirnya perang saudara di Sri Lanka pada 13 tahun lalu, berpuluh-puluh ribu mangsa yang terselamat dan keluarga mereka terus mencari keadilan dan cuba menjejaki lokasi orang yang mereka sayangi.
"Ketiadaan hukuman kekal sebagai penghalang utama kepada kedaulatan undang-undang, perdamaian dan keamanan dan pembangunan mampan di Sri Lanka.
"Oleh kerana mereka yang bersalah tidak dihukum, mereka terus melakukan pelanggaran terhadap hak asasi manusia, serta mewujudkan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa, di samping menyumbang kepada krisis ekonomi sekarang," kata Nashif.
Pegawai PBB itu berkata inflasi di negara itu kini berada pada tahap 66.7 peratus dan dianggarkan 6.3 juta orang mengalami krisis makanan.
Sementara itu, Menteri Luar Sri Lanka Ali Sabry, ketika berucap pada majlis di Geneva, berkata kerajaan peka terhadap kesusahan sosio-ekonomi yang dihadapi rakyat dan telah memulakan langkah untuk memastikan kesejahteraan mereka, menurut satu kenyataan PBB.
-- BERNAMA
#PBB #Sri Lanka #Nada Al Nashif #krisis kewangan