PARIS: Sebanyak sejuta kereta yang didaftarkan secara haram sedang dipandu di Perancis dalam satu skandal penipuan yang menyebabkan kehilangan hasil cukai dan saman bernilai ratusan juta euro, menurut juruaudit negara.
Skandal ini menyaksikan pengedar kereta palsu memanipulasi rekod agensi pendaftaran kenderaan negara (SIV) – juga membahayakan nyawa dengan membenarkan kereta dan lori yang tidak selamat berada di jalan raya.
Advertisement
Selain itu, penipuan ini turut menjadi sumber keuntungan untuk dunia jenayah.
Kelemahan sistem ini “telah membenarkan seluruh spektrum jenayah – daripada kesalahan kecil sehinggalah jenayah terancang – menembusi sistem pendaftaran untuk mencapai matlamat penipuan mereka”, menurut Cour des Comptes, dalam laporan yang dikeluarkan Khamis.
Penipuan ini bermula pada 2017 apabila kerajaan Perancis memutuskan untuk menswastakan sebahagian sistem pendaftaran, dengan harapan dapat mempercepat proses mengeluarkan dokumen kenderaan yang terkenal perlahan.
Sekitar 2,000 penjawat awam dipindahkan ke tugas lain dan sebagai gantinya, pengedar kereta diberi akses terus ke sistem pendaftaran untuk mengeluarkan dokumen kepada pelanggan mereka.
Namun. menurut Cour des Comptes, sistem baharu ini terlalu – dan secara salah – bergantung pada kejujuran.
Realitinya, ia dengan cepat disalahgunakan oleh ratusan pengendali tidak beretika yang mendapati bahawa mereka boleh menubuhkan ‘pengedar kereta hantu’ dan kemudian, dengan bayaran tertentu, memanipulasi rekod.
Laporan itu menyatakan terdapat sekitar satu juta kereta di jalan raya yang didaftarkan oleh hampir 300 “syarikat palsu yang beroperasi tanpa sebarang kawalan negara”.
Dokumen yang ditunjukkan oleh pemandu kenderaan tersebut kelihatan normal kepada polis, tetapi selepas itu kereta dan pemiliknya tidak dapat dikesan.
“Bagi tahun 2022–2024 sahaja, kerugian kewangan ialah 550 juta euro , termasuk kehilangan kutipan yuran pendaftaran serta saman kesalahan laju dan parkir,” katanya.
Secara keseluruhan, juruaudit mengenal pasti 30 jenis penipuan yang berkaitan dengan skandal ini, termasuk mengelak cukai alam sekitar bagi kereta yang sangat mencemarkan, memanipulasi keputusan pemeriksaan keselamatan kenderaan, dan menyembunyikan identiti pemilik sebelumnya.
Dalam laporan khas mengenai fenomena ini, akhbar Le Monde menceritakan tentang seorang SIV-eur (gelaran penipu dalam kes ini) yang membantu seorang pengimport kereta mewah mengelak puluhan ribu euro dalam cukai import dan cukai alam sekitar.
Dia berbuat demikian dengan mendaftarkan Rolls-Royce dan Mercedes sebagai kenderaan khas untuk orang kurang upaya, menjadikannya bebas cukai.
Kenderaan curi boleh didaftarkan semula oleh SIV-eur untuk mengelakkan dikesan, dan kumpulan pengedar dadah menggunakan kereta SIV untuk operasi khas, seperti penghantaran ‘go-fast’ di lebuh raya.
Menurut akhbar Le Figaro, polis mula sedar apabila berlaku peningkatan besar dalam kesalahan memandu “sangat laju” – meningkat 160 peratus antara 2016 dan 2022.
Apabila mereka menyemak pendaftaran, mereka mendapati banyak daripadanya telah dipalsukan.
Cour des Comptes berkata, kerajaan terlalu longgar dan gagal menyemak latar belakang 30,000 pengedar yang diberi akses ke sistem SIV.
Sesiapa yang mahu memasuki sistem hanya perlu menubuhkan syarikat cengkerang (shell company) dan kemudian memohon akses ke rekod, yang biasanya akan diluluskan.
“Inilah yang berlaku apabila anda cuba mengurangkan saiz kerajaan. Dahulu, orang terpaksa beratur dua jam untuk mendapatkan dokumen mereka.
"Semua orang mengeluh, tetapi sekurang-kurangnya semuanya diperiksa dengan betul,” kata seorang sumber kepada Le Monde.
Kementerian Dalam Negeri Perancis berkata, mereka sedar akan masalah tersebut dan sedang mengambil langkah pemulihan.
Pelan tindakan yang diumumkan tahun lalu telah meningkatkan pengesanan penipuan, sementara jumlah pendaftaran pengedar yang dibenarkan mengakses sistem SIV telah dikurangkan dengan ketara. - Agensi