DUNIA

Skandal rasuah ATM: SPRM kemuka kertas siasatan, cadangan pertuduhan kepada pendakwa raya

Sinar Harian 19/01/2026 | 07:10 MYT
Tan Sri Azam Baki berkata, kes tersebut melibatkan siasatan bagi kes Op Parasit dan Op Star. - Gambar fail
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengemukakan kertas siasatan melibatkan pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada pihak pendakwa raya pada Isnin berserta cadangan pertuduhan.


Ringkasan AI
  • SPRM kemuka kertas siasatan pegawai tinggi ATM kepada pendakwa raya bagi kes Op Parasit dan Op Star.
  • SPRM telah sita aset bernilai RM4.7 juta serta beku akaun syarikat dan peribadi pegawai ATM susulan dakwaan rasuah dan salah guna dana TKAT.
  • MINDEF akan laksana rombakan pelan antirasuah besar-besaran untuk membanteras rasuah dalam sistem pertahanan nasional, khususnya dalam ATM.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kes tersebut melibatkan siasatan bagi kes Op Parasit dan Op Star.

"Kertas siasatan dengan cadangan pertuduhan telah dikemukakan kepada pendakwa raya hari ini (Isnin) bagi tujuan kajian dan arahan lanjut.

"Sebarang maklumat lanjut mengenai perkembangan tersebut akan dimaklumkan kemudian dari semasa ke semasa," katanya pada Isnin.

Sebelum ini, Azam dalam sidang akhbar pada Khamis lepas dilaporkan berkata, SPRM menyita dan membekukan aset bernilai keseluruhan RM4.7 juta susulan siasatan ke atas beberapa pegawai kanan ATM berhubung dakwaan rasuah dan salah guna dana Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).

Sitaan menerusi Op Star itu merangkumi kenderaan, emas, wang tunai serta mata wang asing selain pembekuan akaun syarikat dan akaun peribadi.

Dalam kes berasingan, sebanyak 75 akaun syarikat bernilai RM32.5 juta dibekukan dalam Op Parasit berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa yang disyaki membabitkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD).

Ia susulan SPRM telah menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan sejak 23 Disember lalu.

Berikutan isu terbabit, Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan melaksanakan rombakan pelan antirasuah secara besar-besaran bagi membanteras rasuah dan segala kecurangan kuasa yang membarah dalam sistem pertahanan nasional, terutama dalam ATM, tahun ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua proses tender dan perolehan akan disemak semula serta diperbaiki selari dengan amalan terbaik.


https://www.sinarharian.com.my/article/764668/berita/semasa/skandal-rasuah-atm-sprm-kemuka-kertas-siasatan-berserta-cadangan-pertuduhan-kepada-pendakwa-raya


#skandal perolehan tentera #SPRM #rasuah pegawai kanan ATM #bekas panglima tentera darat