DUNIA

Slovenia isytihar Netanyahu 'persona non grata', larang masuk negara

Astro Awani 26/09/2025 | 10:30 MYT
Slovenia mengisytiharkan Benjamin Netanyahu (foto) sebagai persona non grata susulan prosiding jenayah perang antarabangsa terhadapnya. -Gambar fail/AP
LJUBLJANA: Kerajaan Slovenia semalam mengisytiharkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebagai persona non grata, sekali gus melarang pemimpin rejim zionis itu daripada memasuki negara itu berikutan prosiding jenayah perang yang sedang berjalan terhadapnya di peringkat antarabangsa.


Ringkasan AI
  • Slovenia mengisytiharkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebagai persona non grata susulan prosiding jenayah perang antarabangsa terhadapnya.
  • Tindakan ini menyusul laporan ICJ dan PBB yang menyimpulkan pelanggaran undang-undang kemanusiaan oleh Israel, serta larangan terdahulu terhadap dua menteri Israel.
  • Slovenia turut mengenakan embargo senjata dan larangan import dari penempatan haram Israel, serta menyumbang dana kepada Pihak Berkuasa Palestin sebagai sokongan kemanusiaan.


Langkah ini diumumkan Setiausaha Negara Kementerian Luar Slovenia, Neva Grašič, yang berkata bahawa keputusan itu adalah tindak balas terhadap dapatan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyimpulkan bahawa beberapa dasar Israel melanggar undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa.

“Langkah ini bukan ditujukan kepada rakyat Israel, tetapi merupakan mesej jelas kepada kerajaan Israel bahawa Slovenia menjangkakan pematuhan konsisten terhadap keputusan mahkamah antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan,” kata Grašič dalam sidang media di Ljubljana.

Netanyahu menjadi pemimpin ketiga Israel yang diharamkan memasuki Slovenia selepas Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir; dan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich turut diisytihar persona non grata pada Julai lalu atas kenyataan yang didakwa menghasut keganasan terhadap rakyat Palestin.

Slovenia, yang merupakan anggota Kesatuan Eropah dan NATO, sebelum ini turut mengenakan embargo senjata terhadap Israel serta melarang import barangan dari penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki.

Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap penyelesaian dua negara, Slovenia turut meluluskan sumbangan sebanyak €1.2 juta (RM6 juta) kepada Pihak Berkuasa Palestin bagi menyokong kestabilan pentadbiran dan kemanusiaan di Gaza dan Tebing Barat.

Langkah diplomatik ini dijangka meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap Israel, yang kini berdepan pelbagai tindakan sekatan dan gesaan penggantungan daripada badan sukan dan hak asasi manusia global.






#slovenia #Benjamin Netanyahu #laporan ICJ dan PBB #Neva Grasic