[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
DUNIA

SMRT didenda S$3 juta akibat gangguan perkhidmatan tren enam hari di Singapura

Bernama 03/06/2025 | 12:43 MYT
LTA berkata siasatan ke atas gangguan perkhidmatan dari 25 hingga 30 Sept 2024 mendapati punca yang paling mungkin ialah gris dalam kotak gandar yang telah merosot, menyebabkan haba berlebihan dan kerosakan. - Gambar hiasan / X: @dancvg
SINGAPURA: Pengendali pengangkutan awam Singapura, SMRT akan didenda S$3 juta (S$1 = RM3.30) susulan gangguan perkhidmatan MRT selama enam hari di Laluan Timur-Barat (EWL) pada September tahun lalu, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
LTA dalam kenyataan pada Selasa menyatakan bagi menentukan jumlah penalti, pihaknya mengambil kira bahawa SMRT telah menanggung kos pembaikan serta menyediakan perkhidmatan bas pengantara percuma, perkhidmatan bas biasa dan perkhidmatan tren ulang-alik di stesen yang terjejas.
"SMRT turut menawarkan perjalanan percuma kepada penumpang yang turun di Stesen Jurong East dan Buona Vista sepanjang enam hari gangguan itu. Jumlah keseluruhan kos melebihi S$10 juta," menurut kenyataan itu.
Hasil penalti berkenaan akan disalurkan kepada Tabung Pengangkutan Awam bagi membantu keluarga berpendapatan rendah menampung perbelanjaan pengangkutan awam mereka.
LTA berkata siasatan ke atas gangguan perkhidmatan dari 25 hingga 30 Sept 2024 mendapati punca yang paling mungkin ialah gris dalam kotak gandar yang telah merosot, menyebabkan haba berlebihan dan kerosakan.
Penemuan ini disokong oleh kewujudan dan lokasi getah terbakar serta serpihan logam dari spring chevron yang ditemukan di laluan tren terlibat.
Namun, pihak berkuasa menyatakan bahawa punca sebenar tidak dapat dipastikan secara muktamad.
Pada 25 Sept 2024, kotak gandar yang tertanggal menyebabkan roda koc ketiga tren Kawasaki Heavy Industries (KHI) tercabut dari landasan, sekali gus merosakkan landasan antara Stesen Dover dan Depoh Ulu Pandan.
Insiden itu mengakibatkan gangguan perkhidmatan MRT antara Stesen Jurong East dan Buona Vista.
Kerja-kerja pembaikan dijalankan selama enam hari dan perkhidmatan penuh disambung semula pada 1 Okt 2024.
-- BERNAMA
#Gangguan Perkhidmatan #SMRT #Singapura #denda