Solat Jumaat dan berjemaah dibenarkan diadakan di Korea Selatan bermula hari ini

Astro Awani
Mei 15, 2020 05:31 MYT
Sebagai mematuhi penjarakan sosial hanya 150 jemaah sahaja dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat. - Foto Mohamad Reduan
Selepas lebih dua bulan tiada sesi solat Jumaat dan solat berjemaah susulan penularan wabak COVID-19, umat Islam di Korea Selatan hari ini dapat kembali menunaikan kewajipan itu di Seoul Central Mosque.
Seoul Central Mosque yang terletak di Itaewon,, merupakan masjid terbesar di Korea Selatan.
Sebagai mematuhi penjarakan sosial hanya 150 jemaah sahaja dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat.
Antara yang hadir menunaikan solat jumaat itu adalah enam rakyat Malaysia, termasuk Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Mohd Ashri Muda serta kakitangan Kedutaan Malaysia dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Seoul.
Sebelum memasuki perkarangan masjid setiap jemaah dikehendaki menjalani pemeriksaan suhu, memakai topeng muka dan menyembur cecair sanitasi di badan.
Semasa di dalam masjid, setiap jemaah diletakkan dalam jarak satu meter.
Bacaan khutbah dan solat Jumaat diimamkan oleh Imam A. Rahman Lee Ju-Hwa yang juga Imam Korea Muslim Federation.
Dalam khutbahnya, Rahman menegaskan, solat jemaah secara penjarakan 1 meter itu adalah normal baharu yang perlu dilakukan bagi mengelak penularan COVID-19.
#coronavirus #COVID-19 #Islam #kesihatan #Korea #Korea Selatan #koronavirus #Malaysia #rakyat #rakyat Malaysia #Seoul