Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
DUNIA

Songkhla muncul sebagai hab ekonomi baharu Thailand

Bernama 11/10/2025 | 03:10 MYT
Pasar terapung Khlong Hae di Hatyai, Songkhla antara destinasi popular dalam kalangan pelancong khususnya dari Malaysia. - Gambar fail/BERNAMA
SONGKHLA: Thailand kini giat menjadikan wilayah Songkhla sebagai pemacu pertumbuhan baharu di selatan negara itu dengan memanfaatkan kedudukan strategiknya, peluasan infrastruktur serta pewujudan Zon Ekonomi Khas (SEZ) bagi menarik pelaburan rentas sempadan dan memperkukuh perdagangan serantau.

Dahulu dikenali sebagai pintu masuk perdagangan sempadan dan destinasi hujung minggu bagi pelancong Malaysia, Songkhla kini pantas berubah menjadi hab ekonomi dan logistik utama di selatan Thailand.

Terletak di utara Semenanjung Malaysia, Songkhla berperanan sebagai pintu masuk Thailand ke Malaysia dan pasaran ASEAN yang lebih luas, menghubungkan wilayah selatan dengan seluruh rantau ini.



Meningkatkan Perdagangan Rentas Sempadan



Gabenor Songkhla, Chotnarin Kerdsom berkata SEZ menyasarkan industri seperti logistik, pemprosesan getah, elektronik, pengeluaran makanan halal dan pembuatan ringan, berasaskan kekuatan industri sedia ada serta tenaga kerja mahir di wilayah berkenaan.

Beliau berkata, SEZ bertujuan mewujudkan nilai ekonomi jangka panjang dengan menghubungkan sektor pembuatan kepada logistik rentas sempadan serta memperluas kapasiti eksport ke Malaysia dan seterusnya.

"Zon Ekonomi Khas Songkhla merupakan sebahagian daripada visi Thailand untuk memperkukuh daya saing rantau selatan.

"Ia bukan sahaja akan menjana peluang pekerjaan tetapi turut menyokong rantaian bekalan serantau antara Thailand dan Malaysia," katanya kepada Bernama semasa lawatan kor diplomatik ke wilayah Songkhla baru-baru ini.

Dengan populasi hampir 1.5 juta orang, Songkhla memainkan peranan penting dalam Koridor Ekonomi Selatan (SEC) Thailand yang bertujuan meningkatkan kesalinghubungan ekonomi antara Teluk Thailand, pantai Andaman dan Malaysia.

Kedudukan wilayah itu yang bersempadan dengan negeri Kedah dan Perlis serta mempunyai akses kepada rangkaian logistik Pulau Pinang menjadikannya hab semula jadi untuk perdagangan dua hala dan serantau.



Mengekalkan Keamanan, Menyemarakkan Pertumbuhan



Menangani persepsi tentang keselamatan di wilayah selatan Thailand, pihak berkuasa menegaskan bahawa Songkhla dan kebanyakan kawasan di selatan kekal selamat untuk pelaburan serta pelancongan.

Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Thailand (NSC), Chatchai Bangchuad berkata kerajaan komited menyelesaikan pergolakan berpanjangan di selatan tanah air, sambil menekankan bahawa kebanyakan kawasan kini aman dan menyaksikan peningkatan dalam aktiviti perdagangan serta pelancongan.

Beliau menegaskan majoriti wilayah selatan berada dalam keadaan tenang dan rancak secara ekonomi, dengan hanya beberapa daerah berdepan isu keselamatan terpencil.

Chatchai juga berkata bahawa jemputan kepada diplomat dari pasaran ekonomi yang berpotensi tinggi dalam perdagangan dan pelaburan membantu menghasilkan penilaian yang lebih tepat dan mengurangkan persepsi lapuk.

"Suara yang dipercayai seperti para duta boleh berkongsi pemerhatian mereka secara langsung dengan ibu negara masing-masing, sekali gus membawa kepada nasihat perjalanan yang lebih seimbang dan memperkukuh kerjasama dalam pelancongan serta perdagangan," katanya.



Memperkukuh Perdagangan dan Kesalinghubungan ASEAN



Sementara itu, Songkhla turut dipilih sebagai satu daripada tiga wilayah tuan rumah bersama Sukan SEA ke-33 pada Disember ini, yang akan menampilkan acara utama seperti sukan air, seni mempertahankan diri dan permainan tradisional tempatan.

Menurut Dewan Perniagaan Songkhla, nilai perdagangan sempadan melebihi 300 bilion Baht pada 2024 dan dijangka terus meningkat seiring dengan penambahbaikan kemudahan infrastruktur dan kastam.

Melihat ke hadapan, pembangunan berterusan Songkhla di bawah inisiatif SEZ dan Koridor Ekonomi Selatan dijangka memperkukuh integrasi ekonomi Thailand dengan Malaysia dan rantau ASEAN secara keseluruhan.

Peranan Songkhla yang semakin penting dalam sektor logistik, pembuatan dan pelancongan dilihat sebagai kunci kepada matlamat Thailand untuk mencapai pertumbuhan serantau yang mampan serta pembangunan nasional yang seimbang.

Zon Ekonomi Khas yang diperkenalkan pada 2014 di bawah Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) itu merupakan sebahagian strategi Thailand untuk meningkatkan perdagangan sempadan dan kesalinghubungan serantau.

Fasa pertama SEZ Songkhla dilancarkan pada 2015 dan kerajaan Thailand menjangkakan projek itu akan beroperasi sepenuhnya menjelang 2030.

-- BERNAMA


#Songkhla #SEZ Songkhla #perdagangan rentas sempadan #ASEAN