COLOMBO: Sri Lanka merancang untuk memperkenalkan ubat suntikan baharu bagi mencegah HIV pada awal 2027 ketika negara itu meningkatkan usaha membendung peningkatan jangkitan, lapor Xinhua.
Dr Nimali Jayasuriya, pakar perunding venereologi di Program Kawalan STD/AIDS Kebangsaan (NSACP) berkata pada Rabu bahawa langkah itu akan menyokong matlamat negara berkenaan untuk menghapuskan HIV sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030.
Jayasuriya berkata Sri Lanka merancang untuk mengimport ubat profilaksis prapendedahan (PrEP) dalam bentuk suntikan yang akan diberikan dua kali setahun.
Beliau berkata negara itu sedang berusaha mengatasi halangan sedia ada dan memperkukuh langkah pencegahan dalam usaha mencapai matlamat untuk menghapuskan HIV sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030.
Menurut angka yang dikeluarkan oleh NSACP, Sri Lanka merekodkan 874 kes baharu jangkitan HIV pada 2025 manakala 487 lagi kes dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama 2026.
NSACP berkata peningkatan jangkitan baharu di Sri Lanka berlaku ketika jangkitan baharu HIV di seluruh dunia menunjukkan trend penurunan, dengan jumlah jangkitan baharu global merosot kira-kira 65 peratus sejak 1994.
Jayasuriya berkata pengenalan PrEP suntikan merupakan sebahagian usaha untuk memperkukuh pencegahan HIV dan mengurangkan jangkitan baharu di negara berkenaan.
-- BERNAMA-XINHUA