Skip to main content

Dunia

Sri Lanka beri perlindungan kepada kapal tentera laut Iran, 208 kru

X @Osinttechnical
Kapal tentera laut Iran, IRINS Bushehr, memilih untuk menempatkan diri di pelabuhan berkecuali dan akan kekal berlabuh di Pelabuhan Trincomalee, Sri Lanka sehingga perang tamat. - Foto X/OSINTtechnical

NEW DELHI: Sri Lanka memberikan perlindungan kepada sebuah kapal tentera laut Iran bersama 208 kru pada Khamis , sehari selepas sebuah kapal selam Amerika Syarikat (AS) menenggelamkan kapal frigat Iran di Lautan Hindi.

Kapal bantuan IRINS Bushehr memohon kebenaran untuk berlabuh di Sri Lanka selepas AS menyerang frigat IRINS Dena, yang dalam pelayaran pulang selepas menyertai latihan tentera laut anjuran India di Visakhapatnam dari 15 hingga 25 Februari lepas.

Advertisement

Personel IRINS Bushehr, termasuk pegawai, kadet, dan pelaut, mendarat di Colombo pada Khamis, manakala kapal berkenaan sedang dipindahkan ke Pelabuhan Trincomalee di bahagian timur laut.

Sri Lanka memutuskan untuk membantu kapal Iran itu atas dasar kemanusiaan, kata Presiden Anura Kumara Dissanayake kepada pemberita di Colombo, memetik laporan media tempatan.

Sri Lanka menegaskan bahawa ia kekal komited terhadap kedudukan neutralnya dalam peperangan yang sedang berlaku antara Iran dan pakatan AS-Israel.

Bagaimanapun, kerajaan akan memenuhi obligasi antarabangsanya dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada kapal Iran dan krunya, kata Presiden.

Sekurang-kurangnya 87 mayat telah ditemukan, manakala 32 kru berjaya diselamatkan oleh Tentera Laut Sri Lanka selepas kapal Dena musnah akibat terkena torpedo.

Kapal itu diserang di perairan antarabangsa, kira-kira 40 kilometer dari pantai Galle.

Iran telah berikrar untuk membalas serangan itu.

"AS telah melakukan satu kekejaman di laut, sejauh 2,000 batu dari pantai Iran. Frigat Dena, yang merupakan tetamu Tentera Laut India dan membawa hampir 130 pelaut, telah diserang di perairan antarabangsa tanpa sebarang amaran," kata Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menerusi hantaran di laman X pada Khamis.

"AS akan menyesali tindakan yang telah mereka mulakan ini," katanya lagi.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video