DUNIA

Staf Kedutaan Besar Indonesia di Peru maut ditembak

Astro Awani 02/09/2025 | 07:47 MYT
Saluran berita Peru, 24 Horas, melaporkan bahawa Zetro ditembak sebanyak tiga kali berhampiran pangsapurinya pada Selasa - Foto FB Zetro Leonardo Purba
KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan pentadbiran di Kedutaan Besar Indonesia di Lima, Peru, Zetro Leonardo Purba, maut selepas ditembak ketika sedang berbasikal berhampiran kediamannya.

Saluran berita Peru, 24 Horas, melaporkan bahawa Zetro ditembak sebanyak tiga kali berhampiran pangsapurinya pada Selasa.

Ketika kejadian, difahamkan mangsa sedang menunggang basikal bersama isterinya.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu segera dikejarkan ke sebuah klinik tempatan, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Isteri mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Jakarta Globe melaporkan Menteri Luar Indonesia, Sugiono mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, Zetro merupakan pegawai pentadbiran di bahagian canselori Kedutaan Besar Indonesia di Lima.

Menurut Sugiono, penyerang masih belum dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Peru.





#Zetro Leonardo Purba #Kes tembak Peru #Rusuhan di Jakarta #Sugiono