DUNIA
Starbucks kurangkan 900 pekerjaan, tutup lebih banyak premis di Amerika Utara

Jumlah keseluruhan kedai yang dikendalikan syarikat di Amerika Utara dijangka kurang satu peratus pada tahun fiskal 2025 dan syarikat itu akan menamatkan tahun fiskal dengan hampir 18,300 cawangan Starbucks di seluruh Amerika. - Gambar hiasan
LOS ANGELES: Starbucks akan mengurangkan kira-kira 900 jawatan bukan runcit dan menutup sekitar 200 premisnya di Amerika Utara sebagai sebahagian daripada rancangan penstrukturan semula, menurut Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Starbucks, Brian Niccol, lapor Xinhua.
Jumlah keseluruhan kedai yang dikendalikan syarikat di Amerika Utara dijangka berkurangan kira-kira satu peratus pada tahun fiskal 2025, dan syarikat itu akan menamatkan tahun fiskal dengan hampir 18,300 cawangan Starbucks di seluruh Amerika Syarikat dan Kanada, kata Niccol dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman sesawang syarikat pada Khamis.
Dalam masa yang sama, Starbucks juga merancang untuk menaik taraf lebih 1,000 cawangan dalam tempoh 12 bulan akan datang bagi meningkatkan reka bentuk dan pengalaman pelanggan.
Niccol berkata, syarikat akan menawarkan "pampasan pemberhentian kerja dan pakej sokongan termasuk lanjutan faedah" kepada pekerja yang terjejas."Tindakan ini bertujuan untuk memperkukuh apa yang kami lihat berkesan dan memfokuskan sumber kami kepada perkara itu," tulis Niccol.
"Pada tahun fiskal 2026, kami akan meningkatkan bilangan kedai kopi yang dikendalikan seiring dengan pelaburan berterusan dalam perniagaan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami